PENGUNJUNG SETIA

30 September 2011

JALAN SEGAMAT - TANGKAK RM750j

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


 Shaziman  mendengar penerangan daripada Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kerja Raya,  Johari Emby mengenai kerja menaik taraf Jalan Segamat-Tangkak Fasa 1 di Gemereh.
Shaziman mendengar penerangan daripada Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kerja Raya, Johari Emby mengenai kerja menaik taraf Jalan Segamat-Tangkak Fasa 1 di Gemereh.

Naik taraf laluan empat lorong termasuk pembinaan 19 jambatan baru

SEGAMAT: Jalan Segamat-Tangkak yang dinaik taraf daripada dua kepada empat lorong sejauh 63.6 kilometer (KM) akan mula dibina November ini dengan kos keseluruhan kira-kira RM750 juta.

Fasa pertama projek itu membabitkan kos lebih RM100 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun, manakala tempoh keseluruhan projek itu siap belum dapat dipastikan lagi.

Pembinaan projek itu turut membabitkan kerja menaik taraf 19 jambatan sepanjang laluan berkenaan termasuk 14 daripada jambatan itu akan dibina semula bagi menggantikan jambatan asal yang tidak lagi sesuai.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata projek Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dijalankan bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan perjalanan antara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Tangkak ke Segamat.

Katanya, laluan itu digunakan kira-kira 30,000 kenderaan sehari dan apabila siap kelak, ia dijangka dapat menarik lebih ramai pengguna ke Segamat dan kawasan sekitarnya berikutan jarak perjalanan lebih pendek dengan jalan lebih selesa.

"Tender untuk pakej pertama projek ini sudah diluluskan, tetapi disebabkan ia membabitkan kos lebih RM100 juta, kita menyerahkan kepada Kementerian Kewangan untuk pengesahan yang akan mengambil masa paling lewat sebulan sebelum dimulakan selewat-lewatnya pertengahan November ini tetapi kita yakin akan memulakannya lebih awal kerana peruntukan sudah ada.

"Pakej pertama projek itu dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dengan kos keseluruhan projek dari Segamat ke Tangkak dianggarkan antara RM750 juta hingga RM770 juta," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek menaik taraf Jalan Segamat-Tangkak, di sini semalam.

Turut serta dalam tinjauan itu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Dr Lee Hong Tee dan ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat.

Shaziman berkata, projek menaik taraf laluan terbabit dijalankan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai dengan mengambil kira pembangunan dan kesejahteraan rakyat, selain mengatasi masalah kemalangan di jalan berkenaan termasuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Beliau berkata, sebelum setiap projek dimulakan, kajian terperinci mengenai keperluan dan ekonomi akan dijalankan dengan memberi keutamaan kepada projek yang perlu disegerakan.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, projek itu menjadi permulaan baru untuk menarik lebih ramai pelabur ke Segamat berikutan sebelum ini perhubungan jalan raya dan kedudukan jauh dari PLUS menjadi antara penghalang utama.

SUMBER: BERITA HARIAN, 30 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: