PENGUNJUNG SETIA

27 September 2011

RAKYAT PERLU BERSYUKUR: MB


LEDANG – Umat Islam hari ini sudah mengalami transformasi ekonomi dan mempunyai taraf kehidupan yang lebih baik hasil kemerdekaan negara yang dikecap sejak lebih 54 tahun lalu.

Hal ini membolehkan umat Islam yang berkemampuan menyempurnakan rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadah haji di Makkah.

Namun, kerana kuota yang terhad menyebabkan mereka terpaksa menunggu giliran sehingga dalam tempoh yang agak lama untuk ke Tanah Suci.

Di peringkat daerah Ledang, seramai 108 bakal haji diraikan Umno Bahagian Ledang dan dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai menghargai mereka yang terpilih menjadi tetamu ALLAH SWT itu.:

Abdul Ghani berkata, kuota jemaah haji telah ditetapkan setiap tahun dan jika jemaah mendaftar hari ini, mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk menunaikan haji walaupun mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

“Rakyat di negeri ini perlu bersyukur dengan keadaan ekonomi negara kini berada pada tahap yang membanggakan.

“Dalam suasana aman dan makmur, rakyat dapat hidup dengan sejahtera di samping menambah rezeki hasil daripada keadaan ekonomi yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan bakal haji dan sambutan hari raya peringkat daerah Ledang di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, kelmarin.

Beliau berkata, keharmonian ini membolehkan umat Islam mengumpulkan rezeki bagi menunaikan fardu haji di Makkah.

Justeru, Abdul Ghani mengajak rakyat agar berusaha mempertahankan suasana harmoni negara yang dikecap ketika ini.

“Tahniah kepada bakal-bakal haji yang terdiri daripada masyarakat kampung kerana terpilih untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengelakkan daripada terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang sentiasa cuba memecah belahkan perpaduan sehingga rakyat berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Adun Gambir, M Asojan Adun Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin.

SUMBER: SINAR HARIAN, 27 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: