PENGUNJUNG SETIA

28 September 2011

EMPAT LELAKI ROMPAK KEDAI EMAS

LEDANG – Empat lelaki bertopeng bersenjatakan sepucuk pistol berjaya membawa lari empat dulang barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM30,000 dalam satu kejadian rompakan sebuah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.55 pagi itu, tiga daripada empat suspek telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

Menurutnya, seorang lagi suspek hanya menunggu dalam kereta jenis Proton Waja yang diparkir berhampiran kedai emas terbabit.

“Rompakan dilakukan dalam tempoh kira-kira lima minit sahaja sebelum membawa lari barangan kemas menghala ke arah Bekok.

“Semasa kejadian, hanya dua pekerja berada di dalam kedai itu, dan mereka diarahkan tidak melawan apabila salah seorang perompak mengacukan senjata api ke arah mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, seorang daripada suspek yang membawa tukul besi bertindak memecahkan meja cermin yang mengandungi barangan kemas.

“Kami akan membuat :siasatan lanjut untuk mengenal pasti plat nombor kenderaan yang suspek naiki menggunakan pendaftaran palsu ataupun tidak,” katanya.

Berikutan insiden tersebut, pihak polis segera melancarkan Ops Tertutup di Jalan Payamas menghala ke Asahan.

“Sekatan jalan raya turut diadakan di sepanjang jalan raya sehingga ke Tol Tangkak serta memaklumkan ke daerah berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 28 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: