PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2011

BUAT PROGRAM 'SENTUHAN HATI'

LEDANG 12 Julai - Semua peringkat kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) diminta melaksanakan program 'Sentuhan Hati' bagi memastikan sokongan berterusan rakyat kepada parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu bertujuan memenangi hati masyarakat dengan memastikan kebajikan semua pihak terpelihara dan tiada pihak yang terpinggir daripada arus pembangunan negara.

"'Program Sentuhan Hati' perlu dijadikan satu pendekatan untuk memastikan seluruh barisan pemimpin BN turun padang lebih daripada biasa dan melihat bantuan yang diperlukan supaya tiada isi keluarga yang tidak tersentuh hati dengan pemberian kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Skuad Sayang Parlimen Pagoh dan Program Jalinan Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat, Parit Raja dekat sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Senator Noriah Mahat.

Muhyiddin berkata, semua pemimpin UMNO dan BN sewajarnya turun padang melawat keluarga susah dan golongan yang terjejas supaya bantuan kebajikan dapat disalurkan segera.

Beliau berkata, program kebajikan 'Sentuhan Hati' itu tidak memerlukan perbelanjaan yang besar namun apa yang penting adalah keprihatinan semua pihak untuk menjaga golongan yang memerlukan bantuan.

"Kita tolong mereka dan bila sudah sampai pilihan raya, kita tak payah minta mereka sokong kerana mereka semua akan keluar menyokong BN dan pastikan BN terus kekal," katanya.

Beliau memberitahu, bagi kawasan Parlimen Pagoh, pihaknya juga akan melancarkan program 'Doktor Turun Kampung' pada hujung bulan ini untuk menjaga keperluan kesihatan penduduk.

Timbalan Perdana Menteri berkata, berbanding Pas yang baru melaungkan slogan 'Negara Kebajikan', kerajaan BN telah melaksanakan dasar kebajikan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan taraf hidup rakyat juga berjaya ditingkatkan sehingga keluar daripada kepompong kemiskinan.

Muhyiddin turut mengalu-alukan pelancaran Skuad Sayang Parlimen Pagoh untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan Parlimen tersebut dalam memastikan kebajikan dapat disampaikan dengan segera kepada golongan memerlukan khususnya semasa berlaku bencana alam.

"Sikap ini amat terpuji kerana dalam negara kita yang pesat membangun, golongan susah tidak kita lupakan dan semua kita bantu tanpa mengira latar belakang kaum atau agama," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JULAI 2011

Tiada ulasan: