PENGUNJUNG SETIA

06 Julai 2011

KEKANGAN DARI SEGI MODAL


LEDANG - Kebanyakan pengusaha bas di Johor mencadangkan pihak kerajaan supaya melanjutkan had tempoh usia bas henti-henti kepada 20 tahun berbanding 15 tahun yang dibenarkan ketika ini.

Pengerusi Pengusaha Bas Negeri Johor, J Suchdav berkata, ini kerana hampir 95 peratus bas henti-henti di Johor sudah menjangkau usia 15 tahun.

Menurutnya, apabila kerajaan mengehadkan usia 15 tahun bagi setiap bas henti-henti telah menyebabkan sebahagian bas di sini tidak dapat beroperasi sehingga menjejaskan pendapatan pengusaha pengangkutan berkenaan, di sini.

“Kami juga diarahkan setiap bas henti-henti yang berusia 15 tahun juga diminta ditukar dengan bas yang baru.

“Kami tidak berkemampuan untuk menukar bas baru kerana menghadapi kekangan daripada segi modal,” katanya kepada Sinar Harian.

Suchdav berkata, mengusahakan bas henti-henti ini sangat mencabar dan tidak menguntungkan kerana terpaksa bersaing dengan pengusaha bas milik kerajaan.

“Pada ketika ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melanjutkan tempoh pembaharuan lagi setahun secara automatik bagi bas yang berusia 15 tahun.

“Tetapi apabila bas telah berusia 17 tahun dan kami perlu membuat permohonan baru bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan bas,” katanya.

Menurutnya, cadangan menambah tempoh selama lima tahun bagi memperbaharui permit bas henti-henti itu bagi membolehkan SPAD menyiapkan dasar pengangkutan awam.

“Melalui dasar ini pihak kerajaan boleh berfikir sama ada untuk mengambil alih atau membeli mana-mana syarikat bas yang sudah tidak mampu beroperasi.

“Pada masa yang sama, kami juga mahu pihak kerajaan menimbang permohonan pemberian subsidi minyak per kilometer kepada pengusaha bagi menampung kos operasi bas henti-henti,” katanya.

Suchdav berkata, oleh yang demikian, dengan pemberian subsidi itu juga akan membantu pengusaha untuk bertahan lebih lama dalam industri tersebut serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 6 JULAI 2011

Tiada ulasan: