PENGUNJUNG SETIA

23 Julai 2011

BUKAN SEBARANG BESI BURUK

LEDANG – Meskipun dianggap sebagai besi buruk tetapi bagi penggemar skuter klasik ia memiliki nilai tersendiri yang semakin tinggi nilainya jika usianya semakin lama.

Bagi mereka, mengeluarkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk membaiki serta menambah aksesori pada skuter kesayangan mereka bukanlah satu beban, sebaliknya memberikan kepuasan di luar jangkaan.

Pengerusinya, Badrul Hisham Abu Bakar, 51, berkata, memandangkan skuter klasik tersebut semakin dilupakan telah mendorong pemilik skuter menubuhkan Kelab Skuter Klasik Ledang.

Menurutnya, sehingga ini kelab berkenaan berjaya menghimpunkan kira-kira 40 ahli yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Penubuhan kelab ini antara lain bertujuan untuk menghimpunkan pemilik skuter serta mengembalikan kegemilangan kemasyhuran skuter satu ketika dahulu.

“Kebanyakan ahlinya memiliki skuter model Lambretta dan Vespa keluaran 1962 hingga 1966 selain model 1980 yang masih baik dan boleh bergerak di jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Badrul Hisham berkata, melalui aktiviti itu juga dapat mengeratkan silaturahim di antara ahli serta berkongsi pengalaman mengenai skuter sama ada dari segi membaik pulih atau penjagaannya.

“Kelab ini turut mengadakan aktiviti untuk ahli dengan mengadakan perjumpaan hujung minggu secara santai, berkonvoi dan mengiringi majlis keramaian seperti perkahwinan ahli atau keluarga mereka.

“Kebanyakan ahlinya tinggal di sekitar Bukit Gambir dan terdiri daripada pelbagai peringkat usia malah sebahagiannya mempunyai pengalaman membaik pulih sendiri kenderaan mereka,” katanya.

Naib Pengerusi kelab, Khudhairi Jais, 46, berkata, program terbaru yang dianjurkan kelab itu ialah Program Jelajah Ledang 2011 disertai 25 orang ahli berkonvoi menaiki Lambretta dan Vespa.

Menurutnya, program itu bertujuan memperkenalkan kelab kepada warga Ledang dengan singgah di beberapa destinasi seperti pekan Kundang Ulu, Gunung Ledang Resort, Dataran Ledang di Tangkak, Laman Riveria di Tanjung Agas dan balik ke Bukit Gambir.

“Kami mengalu-alukan pemilik Lambretta dan Vespa di daerah ini menyertai komuniti itu bagi menambah keahlian selain dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama ahli dan bertukar pendapat dan pengalaman.

“Beberapa aktiviti dalam perancangan untuk manfaat ahli termasuk menjalin hubungan mesra dengan kelab skuter yang ada di seluruh negara ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN 23 JULAI 2011

Tiada ulasan: