PENGUNJUNG SETIA

23 Julai 2011

KOMITMEN KERAJAAN SEIMBANG

LEDANG – Kerajaan Negeri telah membina sebanyak 121 sekolah agama di seluruh Johor sejak dua tahun lalu sebagai komitmen memberikan pendidikan seimbang kepada rakyat Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pembinaan itu turut melibatkan projek Sekolah Agama Bukit Banjar, Tangkak kerana sebelum ini, pelajar sekolah berkenaan terpaksa menumpang bangunan di Sekolah Kebangsaan Bukit Banjar, di sini.

Menurutnya, permintaan terhadap sekolah agama semakin meningkat berikutan bilangan murid ketika ini mencecah lebih 200,000 di seluruh Johor.

“Kerajaan Johor sentiasa memberikan penekanan yang sewajarnya dalam bidang pendidikan yang seimbang di antara akademik juga pendidikan agama,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Bukit Banjar, Tangkak di sini, semalam.

Beliau berkata, :penguasaan ilmu pengetahuan perlu menjadi keutamaan kerana ia mampu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.

“Kerajaan mengambil langkah proaktif melaksanakan pembangunan untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat yang membabitkan penduduk kampung selepas kemerdekaan negara.

“Oleh yang demikian, pada tahun 1958, kerajaan telah membuka sebanyak 14 Felda di seluruh negara yang mana empat daripada 14 Felda ini adalah di Johor,” katanya.

Abdul Ghani berkata, melalui Felda, kerajaan dapat mengatasi masalah kemiskinan penduduk kampung yang tidak mempunyai tanah.

“Dalam tempoh 15 tahun sahaja masalah rakyat berjaya diatasi dan sebahagian besar daripada mereka telah memiliki tanah yang secara tidak langsung telah mengubah taraf hidup mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak menjual tanah kurniaan kerajaan sebaliknya manfaatkan tanah tersebut untuk meningkatkan ekonomi masing-masing.

“Rakyat negara ini perlu mengikut cara negara maju yang mana rakyat mereka lebih berminat menjadi petani kerana peluang kekayaan yang lebih mudah dan serah,” katanya.

Turu:t hadir , Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman dan Guru Besar sekolah berkenaan, Wasmin Abd Fatah.

SUMBER: SINAR HARIAN 23 JULAI 2011

Tiada ulasan: