PENGUNJUNG SETIA

24 Julai 2011

NADI KESTABILAN POLITIK

LEDANG - Perpaduan nasional adalah nadi kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi sosial yang perlu dipertahankan sehingga ke peringkat akar umbi.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Johor, M Asojan berkata, komitmen yang dilakukan oleh Kerajaan Johor yang diterjemahkan menerusi penganjuran Karnival Perpaduan 1Malaysia Peringkat Negeri Johor 2011 jelas membuktikan kerajaan memandang serius perkara berkaitan perpaduan.

Menurutnya, usaha memupuk, memelihara dan menjaga perpaduan kaum di negara ini adalah tanggungjawab bersama.

“Penglibatan ‘sukarela’ ahli jawatankuasa rukun tetangga sudah cukup membuktikan mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk kekal menjadi agen perpaduan masyarakat.

“Sebagai tanda pengiktirafan kerajaan negeri kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut menganugerahkan 10 KRT dan 10 SRS yang cemerlang di negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Karnival Perpaduan 1Malaysia Peringkat Negeri Johor 2011 di Dataran Bukit Gambir di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, rakyat negara ini yang berbilang kaum perlu bersatu hati walau dalam apa jua keadaan.

“Hal ini sangat perlu untuk memastikan supaya keharmonian negara dan rakyat terus berpanjangan.

“Kekuatan sesuatu empayar bukan terletak pada pemimpin semata-mata tetapi juga semangat, jati diri dan permuafakatan,” katanya.

Justeru, beliau berharap karnival berkenaan tidak akan berakhir begitu sahaja tetapi rakyat dapat bersama-sama mengekalkan perpaduan.

“Penglibatan semua masyarakat jelas memberi isyarat bahawa kita telah berupaya membentuk masyarakat yang bersatu padu dalam keadaan harmoni,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 24 JULAI 2011

Tiada ulasan: