PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2011

CABARAN HEBAT PDRM

LEDANG– Cabaran yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin hebat apabila turut terkena tempias krisis keyakinan akibat landaan persepsi negatif daripada masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Deputi Inspektor Jeneral Datuk Sri Khalid Abu Bakar berkata, tanggapan tersebut bertambah buruk apabila berlaku ledakan teknologi maklumat yang menyebarluaskan kelemahan PDRM sebagai agensi penguat kuasa yang terulung di negara ini.

Menurutnya, kebanyakan maklumat tersebut tidak berasas kepada kebenaran tetapi lebih kepada tanggapan serta pendapat umum.

“Selebihnya, persepsi negatif ini juga sukar dibendung kerana amalan media massa yang telus dalam sebuah negara demokrasi.

“Usaha-usaha terus dilakukan dalam pengurusan persepsi demi menegakkan imej polis supaya tidak terjejas teruk,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Perasmian Daerah Polis Ledang di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, semalam.

Beliau berkata, menangani krisis keyakinan dan persepsi negatif itu hanya akan berhasil dengan lonjakan dalam prestasi PDRM.

“PDRM perlu mendekati masyarakat dalam satu gerakan memenangi hati dan sokongan mereka untuk memerangi jenayah dan ancaman keselamatan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PDRM berorientasikan metropolitan policing mengorak langkah memodenkan perkhidmatannya selari dengan perkembangan semasa ekonomi.

“Jangkauan perkhidmatan bukan hanya berpaksikan kepada kehadiran yang lebih dekat dengan masyarakat tetapi mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat hingga kehadirannya dapat dirasai.

“Kehadiran PDRM di Ledang ini adalah berasaskan kepada keperluan jaminan keselamatan kepada penduduk,” katanya.

Katanya, PDRM bertanggungjawab mewujudkan persekitaran selamat sebagai pemangkin kepada perkembangan sosio-ekonomi negara.

“Persekitaran yang selamat akan memberikan kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Selain semangat yang tersirat dalam kaedah kepolisan masyarakat atau community oriented policing, beliau menggesa rakyat bersama-sama menggembleng usaha menentukan keadaan keselamatan negara ke tahap paling tinggi sejajar dengan visi PDRM.

“Pendekatan ini merupakan satu kaedah untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada polis.

“Sebagai sebuah kontinjen yang paling aktif dalam aktiviti community policing, saya yakin dan percaya keadaan keselamatan masa depan dan keadaan selamat yang dialami sekarang adalah berkat dari permuafakatan tersebut,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 JULAI 2011

Tiada ulasan: