TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

24 Julai 2011

PERTAHAN PERPADUAN POLITIK

LEDANG – Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengingatkan rakyat Malaysia supaya mempertahankan perpaduan politik untuk memastikan kemakmuran dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Katanya, perpaduan politik yang diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu berjaya mengusir pihak Inggeris yang akhirnya membawa kemerdekaan kepada negara.

“Sebagai negara berbilang kaum, perpaduan politik sangat penting supaya kepentingan kaum terpelihara, seterusnya menyumbang untuk memperkukuhkan kekuatan politik di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Perpaduan 1Malaysia Peringkat Negeri Johor 2011 di Dataran Bukit Gambir di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kekuatan politik berikutan tindakan sesetengah pihak cuba menimbulkan kekecohan yang menjurus kepada perpecahan kaum.

“Perkara ini berlaku kerana sikap tamak pihak berkenaan yang ingin merebut kuasa memerintah negara dengan cara yang salah.

“Mereka tergamak mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur yang mencetuskan bibit revolusi di sebalik ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, tindakan tersebut memberikan imej tidak elok kepada negara jika dibandingkan dengan gambaran yang dirumuskan oleh pengkaji antarabangsa mengenai tahap keselamatan negara ini pada paras ke-16 negara terselamat di dunia.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Johor, M Asojan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri dan Integrasi Nasional Negeri Johor, Baharin Idris dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

SUMBER: SINAR HARIAN 24 JULAI 2011

Tiada ulasan: