PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2011

IPD LEDANG DIISYTIHAR

LEDANG - Pengisytiharan Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dijangka akan memperkukuhkan lagi aspek keselamatan di Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penubuhan IPD Ledang adalah lanjutan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang memikirkan dan merancang IPD Ledang dapat dibina di tapak yang lebih sesuai agar semua kelengkapan serta infrastruktur keperluan sebuah IPD dapat dilengkapkan sepenuhnya.

“Kontinjen Johor perlu dipertingkatkan keanggotaannya manakala pendekatan teknologi dalam melaksanakan tugas kepolisan hendaklah dipercepatkan.

“Saya berbangga dengan pencapaian Polis Johor yang berada pada kedudukan ketiga terbaik dari segi menurunkan kes iaitu sebanyak 20.3 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Pengisytiharan Daerah Polis Ledang di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, semalam.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga 12 Julai tahun ini, indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 137 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada ketua polis negara kerana memberikan keutamaan kepada Kontinjen Johor dalam pelbagai aspek termasuk peruntukkan logistik dan keanggotaannya.

“Antaranya ialah pertambahan persempadanan baru Ibu Pejabat Polis Daerah daripada sembilan daerah polis pada 1997 kepada 13 daerah pada masa ini,” katanya.

Abdul Ghani berkata, harapan rakyat terhadap polis bukan sahaja sebagai pelindung masyarakat dan penjaga keamanan, bahkan merangkumi pelbagai aspek perkhidmatan kepada masyarakat.

“Dalam persekitaran ini, orang ramai bersikap kritis terhadap perkhidmatan polis, malahan turut menjadi bahan kempen parti politik selain mempolitikkannya untuk kepentingan agenda masing-masing.

“Tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa polis telah memberikan perkhidmatan terbaik, cekap, efisien dan berhemah dalam menangani isu keselamatan termasuk berbaur politik, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis turut bertindak dengan penuh berhemah dan cekap ketika menangani isu Bersih di Kuala Lumpur pada minggu lalu

Abdul Ghani berkata, beliau menyarankan kepada warga PDRM seluruh negara khususnya Kontinjen Johor supaya tidak luntur semangat akibat cemuhan tidak berasas.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 JULAI 2011

Tiada ulasan: