PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2011

KERAJAAN NEGERI, POLIS SENTIASA ERAT


ABDUL Ghani Othman melakukan pemeriksaan perbarisan pada Majlis Pengisytiharan Daerah Polis Ledang di Tangkak, Johor, semalam. - utusan/Ishak Rahmad


LEDANG 15 Julai - Kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan pihak polis sentiasa dipelihara demi menjamin perkhidmatan terbaik dalam aspek keselamatan kepada masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pihaknya sentiasa sedia untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan pihak polis termasuk menyediakan tapak bersesuaian bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang baru di samping menyediakan kelengkapan serta infrastruktur yang bersesuaian.

Menurutnya, strategi berterusan dalam menjamin aspek keselamatan dan kesejahteraan telah memberi impak positif kepada kerajaan dan limpahan nikmati kepada masyarakat melalui keyakinan pelabur yang memberi kemakmuran kepada negeri.

"Kita menyedari pentingnya keselamatan dan keamanan sebagai satu pra syarat kepada kestabilan, pertumbuhan dan kelestarian sosio ekonomi serta pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

"Oleh itu, aspek keselamatan dan keamanan sentiasa diutamakan dan dilaksanakan seiring dengan aspek pembangunan," katanya semasa merasmikan Majlis Pengisytiharan Daerah Polis Ledang, di IPD Ledang, Tangkak dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan timbalannya, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris.

IPD Ledang merupakan IPD ke-13 diwujudkan di negeri ini pada 1 Februari 2009 selaras dengan pewartaan Daerah Ledang sebagai daerah baru dan secara keseluruhannya menempatkan enam balai polis serta sembilan pondok polis.

Abdul Ghani berkata, penubuhan IPD Ledang dapat memastikan perkhidmatan kepolisan diperluas dan disempurnakan demi tuntutan perkhidmatan keselamatan dan ketenteraman awam kepada masyarakat setempat.

Beliau turut merakam penghargaan kepada pasukan polis kerana menunjukkan komitmen tinggi sehingga negeri ini menduduki tempat ketiga terbaik daripada segi kejayaan menurunkan kes iaitu sebanyak 22.29 peratus dan kelima terbaik dalam menyelesaikan kes dengan 49.42 peratus sepanjang tahun lalu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 JULAI 2011

Tiada ulasan: