TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2011

LANJUTKAN USIA BAS 20 TAHUN

LEDANG 7 Julai - Persatuan Pengusaha Bas negeri Johor memohon Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membenarkan tempoh lanjutan lagi lima tahun bagi perkhidmatan bas henti-henti yang berusia 15 tahun dalam mengurangkan beban kos pengusaha pengangkutan awam di negeri ini.

Pengerusinya, J. Suchdav berkata, para pengusaha bas henti-henti tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk meneruskan perkhidmatan dengan bas baru dan pihaknya juga tidak boleh dibandingkan dengan pengusaha bas daripada syarikat milik kerajaan (GLC).

''Dasar sedia ada menetapkan had usia bas henti-henti adalah selama 15 tahun dan ia kemudiannya perlu digantikan dengan bas baru.

''Kami merayu kerajaan agar permit bas kami dapat dilanjutkan lima tahun lagi kerana keadaan kewangan kami yang tidak begitu baik, malah pihak bank juga tidak meluluskan pinjaman,'' katanya selepas pertemuan dengan wakil SPAD Wilayah Selatan, Parit Bunga di sini hari ini.

Hadir sama pada pertemuan tersebut adalah Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia, Datuk Mohd. Asfar Alia dan Pengerusi Pengusaha Bas negeri Melaka, Abdul Razali Endon.

Menurut Suchdav, dalam membantu operasi bas henti-henti di seluruh negara, pihaknya memohon kerajaan menyalurkan subsidi mengikut setiap kilometer ataupun mengambil alih syarikat-syarikat bas berkenaan.

''Perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya bas henti-henti tidak dapat menjana keuntungan yang banyak dan situasi ini berlaku di semua tempat.

''Buat masa ini, terdapat 1,500 bas henti-henti yang beroperasi di seluruh negeri Johor dan 80 peratus daripadanya sudah berusia lebih 15 tahun,'' katanya yang turut memberitahu persatuannya mewakili 20 syarikat bas di negeri ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 JULAI 2011

Tiada ulasan: