TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Julai 2011

KURANGKAN IMPORT KAYU PERABOT

LEDANG 16 Julai - Kerajaan negeri merancang menjadikan kawasan seluas 12,140 hektar sebagai ladang pokok getah yang turut dijadikan bahan mentah membuat perabot.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ladang tersebut bagi menjamin bekalan bahan kayu kepada industri perabot di negeri ini secara berterusan dan mengurangkan kebergantungan kepada kayu import.

"Tanaman ini bukan sahaja untuk tujuan mendapatkan susu getahnya sahaja, tetapi dalam tempoh kurang 10 tahun, kita akan mendapat bekalan kayu untuk dijadikan bahan pengeluaran perabot," katanya semasa melancarkan Pusat Pengumpulan Industri Asas Tani daerah Ledang dan Festival Buah-buahan Ledang di Pusat Perniagaan Anjung Batu, Tangkak dekat sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee.

Abdul Ghani berkata, sumber kayu amat penting kepada industri perabot yang bertapak di daerah Muar dan Ledang dengan hasil pengeluarannya dieksport ke luar negara termasuk ke Amerika Syarikat, China serta Asia Barat.

"Apabila dicampur jumlah pengeluar perabot di Muar dan Ledang, ia merupakan pusat pengeluaran perabot yang terbesar di Malaysia. Malah, 30 peratus nilai eksport seluruh dunia datang dari kawasan kita," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang membina Pusat Pameran Perabot di Tangkak sebelum akhir tahun ini untuk menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan dan merancakkan lagi industri perabot di negeri ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut menyarankan kepada pengusaha industri asas tani untuk memperluaskan lagi pasaran produk di samping memastikan tahap pengeluaran dan mutu barangan sentiasa terjamin.

"Kerajaan negeri menerusi Agrobank menyediakan peruntukan lebih RM2 juta untuk memberi kemudahan pinjaman," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 JULAI 2011

1 ulasan: