PENGUNJUNG SETIA

30 Julai 2011

PELAJAR UPM TURUN PADANG DI PAGOH

Bertemakan 'Dari Gedung Ilmu ke Lapangan', program itu menjadikan kawasan Parlimen Pagoh di Johor sebagai lokasi dua fasa sebelum ini iaitu pada 16 dan 17 serta 23 dan 24 Julai lalu.

Program anak angkat itu pada 16 dan 17 Julai diadakan di Kompleks Penghulu Grisek manakala pada 23 dan 24 Julai secara serentak di Dewan Serbaguna Kundang Ulu serta Dewan Terbuka Perladangan Peserta Felcra Kundang Ulu.

Acara kemuncak akan diadakan di lokasi sama pada hari ini (30 Julai) sempena majlis Pelancaran Program Kesihatan dan Doktor Masuk Kampung yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk menambah ilmu pengetahuan tentang kesihatan melalui pameran dan demonstrasi mengenai penyakit berkaitan gaya hidup yang dijalankan sepanjang program diadakan.

Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan oleh FPSK UPM sepanjang kempen itu antaranya ceramah berkaitan kesihatan, kerjaya, motivasi, kuiz dan peraduan mencipta poster.

Selain itu ialah mengarang esei mengenai kesihatan, pertandingan mewarna dan sukaneka untuk kanak-kanak, pertandingan futsal, sepak raga bulatan, pertandingan memasak serta gubahan bagi wanita dan juga program saringan kesihatan.

Pengarah program tersebut, Prof. Dr. Latiffah A. Latiff berkata, program anak angkat itu bertujuan membuka peluang kepada masyarakat setempat mengemukakan masalah kesihatan selain membentuk masyarakat yang sihat dan prihatin terhadap penjagaan kesihatan.

"Apa yang lebih penting kita mahu memperkasakan penglibatan fakulti dalam komuniti dengan menjalankan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat luar bandar selaras dengan misi Masyarakat Sihat 1Malaysia," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Hampir 150 orang terlibat dalam program kemuncak tersebut yang terdiri daripada pelajar, pakar-pakar klinikal dari pelbagai jurusan dan juga jururawat dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan, perundingan, kaunseling serta rujukan secara percuma.

Dr. Latifah berkata, penglibatan FPSK secara langsung dapat mempromosikan fakulti tersebut yang telah melahirkan 809 doktor perubatan daripada 10 kohort di negara ini sejak penubuhannya pada tahun 1996.

Menurutnya, program itu juga dapat memberi pendedahan kepada bakal doktor perubatan UPM dalam berinteraksi dengan masyarakat pelbagai bangsa dan ragam.

Selain itu, tambahnya, masyarakat setempat boleh memanfaatkan peluang menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma di samping mendapat khidmat-khidmat nasihat pakar perubatan daripada FPSK UPM.

"Seperti hipertensi (tekanan darah tinggi), diabetes, kesan rokok dan obesiti kepada kesihatan serta, kanser payu dara dan serviks (pangkal rahim)," ujarnya.

Program tersebut juga mendapat kerjasama Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Pejabat Kesihatan dan Pejabat Daerah Ledang, Majlis Daerah Tangkak, Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah Kundang Ulu, Syarikat Perladangan Peserta Kundang Sdn. Bhd, Kemas Bahagian Ledang, RELA dan UMNO Cawangan Parit Medan.

Program itu juga turut melibatkan beberapa kampung dan taman perumahan di sekitar Pagoh seperti Kampung Ujong Tambak, Kampung Parit Medan, Kampung Sungai Sendok, Kampung Parit Tepi, Kampung Baru Gersek, Kampung Parit Simpang dan Kampung Parit Raja.

Selain itu ialah Kampung Parit Sawah, Kampung Parit Bukit Rahmat, Kampung Parit Surau, Kampung Parit Pelampung, Kampung Parit Tunggul, Kampung Penchu, Pekan Kundang Ulu, Kampung Melayu Kundang Ulu, Taman Bakri Kundang Ulu, Taman Wijaya Gersik dan kuarters Syarikat Perladangan Peserta Kundang Sdn. Bhd.

Dalam fasa kedua pada 16 dan 17 serta 23 dan 24 Julai lalu, para pelajar tahun tiga FPSK UPM membawa ibu bapa angkat dan empat hingga lima keluarga lain iaitu jiran keluarga angkat ke kem kesihatan Ia membabitkan 15 kampung sekitar Pekan Gersik dan Kundang Ulu.

Sementara itu penduduk Kampung Parit Raja, Pagoh, Muskiah Mohd. Don, 55, yang merupakan bidan kampung berkata, program tersebut diharap diteruskan demi manfaat penduduk.

"Ini memudahkan kami sebagai penduduk di sekitar mukim ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berkala," katanya.

Rakannya, Tan Cheang Ang, 57, turut menyokong program tersebut dan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak FPSK, UPM.

"Dengan adanya program ini saya dapat mengenali silang budaya yang berbeza serta mempelajari perkara baharu daripada pelajar UPM," katanya.

Penghulu Mukim Gersik, Ledang, Ishak Abu Bakar pula berkata, ini program pertama di mukim ini seumpamanya yang turut mengeratkan silaturahim sesama penduduk.

Pakar Radiologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Pengimejan FPSK, UPM, Dr. Suraini Mohamad Saini berkata, hampir 400 penduduk kampung sekitar Mukim Ledang menjalani pemeriksaan imbasan organ dalaman.

"Ini menunjukkan penduduk kampung mempunyai kesedaran terhadap pentingnya mengadakan pemeriksaan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JULAI 2011

Tiada ulasan: