LEDANG – “Kami tertekan,” hanya itu yang mampu diluahkan penduduk, Mohd Shamsudin Dawam, 40, apabila masalah ‘banjir termenung’ yang melanda Kampung Parit Dahalan, Paya Kepong Mukim Kundang Teluk Rimba, di sini tidak berkesudahan sejak 12 hari lalu.
Bencana alam tersebut menyebabkan kira-kira 20 rumah penduduk ditenggelami air sedalam kira-kira satu kaki selepas hujan lebat yang melanda kampung itu pada 19 November lalu.
Keadaan air yang masih belum surut hingga kini menyebabkan tekanan kepada penduduk terlibat.
Mohd Shamsudin berkata, rata-rata penduduk mendakwa masalah ‘banjir termenung’ yang berlaku itu juga mungkin ada kaitan dengan kerosakan yang berlaku pada Benteng Sungai Kesang.
Menurutnya, benteng itu dipercayai rosak ketika bencana banjir yang berlaku pada Februari lalu dan hingga kini tidak dibaiki oleh pihak bertanggungjawab sehingga menyebabkan air Sungai Kesang melimpah dan memasuki ke kawasan rumah penduduk.
Katanya, insiden itu turut memberikan beban kepada ramai penduduk yang rata-rata merupakan golongan petani di sini.
“Ini kerana kawasan kampung terdiri daripada kira-kira 200 hektar kawasan padang ragut dan 80 hektar tanaman kelapa sawit dan getah.
“Daripada itu, sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan ramai petani tidak dapat mengusahakan tanaman mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Mohd Shamsudin berkata, sebuah keluarga di sini terpaksa menumpang di rumah jiran sejak 12 hari lalu kerana rumahnya dinaiki air dan tidak boleh diduduki,” katanya.
Menurutnya, dia juga bimbang dengan keselamatan anak-anak memandangkan parit di sekitar kampung ini dipenuhi air banjir dan dikhuatiri menjadi tumpuan kanak-kanak bermain.
Seorang lagi penduduk, Sabari Tasrib, 70, berkata, dia telah kehilangan pendapatan kira-kira RM1,000 sejak ‘banjir termenung’ melanda kampungnya itu.
“Sudah 12 hari saya tidak menoreh getah kerana kawasan kebun digenangi air banjir. Risau jika keadaan ini berlarutan akan menjejaskan pendapatan petani di sini,” katanya.
Sabari berkata, setelah 12 hari berlaku, paras air yang surut sangat sedikit iaitu dua inci sahaja.
“Keadaan kebun yang digenangi air terlalu lama juga dikhuatiri akan merosakkan tanaman dan tidak menolak kemungkinan pokok akan tumbang berikutan struktur tanah menjadi lemah,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penternak lembu, Yunos Sarpan, 41, berkata, berikutan kejadian itu kawasan ternakan dan padang ragut yang diusahakannya ditenggelami air mencecah satu meter.
Menurutnya, dia juga terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 kerana rumput yang baru ditanamnya sebulan lalu musnah ditenggelami air.
Yunos berkata, penduduk kampung berharap dan merayu masalah itu diatasi segera supaya beban mereka dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) daerah, tetapi gagal.
SUMBER: SINAR HARIAN, 30 NOVEMBER 2011