PENGUNJUNG SETIA

16 November 2011

PADAH PECAH MASUK RUMAH GURU

Oleh : Wartawan Sinar Harian

Mohamad-Salleh-menunjukkan-parang-yang-dirampas-dalam-serbuan-ke-atas-suspek-yang-terlibat-dalam-keg

LEDANG – Tindakan berani tiga remaja lelaki memecah masuk rumah seorang guru mengundang padah apabila ditahan polis kurang 12 jam selepas melakukan jenayah itu di Taman Tangkak dekat sini pada 9 November lalu.

Kesemua suspek yang berusia 19 tahun ditahan ketika sedang leka beristirahat di rumah mereka di Taman Pelangi, Tangkak, kira-kira jam 4.40 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohamad Salleh Abd Razak berkata, serbuan hasil maklumat dan risikan itu dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Tangkak yang diketuai Inspektor Jamellulkamal Abdul Halim.

Menurutnya, turut ditemui dalam serbuan berkenaan ialah dua rantai tangan, dua loket, dua subang, dua cincin, lima wang kertas Dolar Brunei, sekeping wang Dolar Singapura, satu telefon bimbit jenis Motorola dan sebuah komputer riba.

“Kesemua barangan rampasan ini di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dan dianggarkan bernilai RM13,000.

“Dengan penangkapan kesemua suspek berjaya menyelesaikan sebanyak empat kes pecah rumah di sekitar daerah Ledang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Perkarangan Pondok Polis Bukit Kepong di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu disedari anak perempuan mangsa berusia 20 tahun yang baru bangun daripada tidur kira-kira jam 1.10 petang.

“Anak mangsa terkejut setelah mendapati bilik utama ibu bapanya berselerak seperti digeledah orang.

“Lantas anak mangsa segera menghubungi bapanya yang merupakan seorang guru untuk pulang ke rumah,” katanya.

Hasil pemeriksaan oleh guru berusia 56 tahun itu mendapati rumahnya dipecah masuk dan mendapati beberapa barangan kemas milik isterinya hilang.

Katanya,, kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Berikutan itu, siasatan lanjut ke atas kesemua suspek mendapati salah seorang daripada suspek didapati terlibat dalam kes cubaan samun di Taman Indah, Tangkak, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga kedai makan berusia 68 tahun sedang memasak bagi memulakan perniagaan tiba-tiba didatangi suspek dari arah belakang lalu mengacu parang di leher serta meminta wang.

“Berlaku sedikit pergelutan di antara mangsa dengan suspek dan mangsa cedera di jari tangan, manakala suspek gagal mendapatkan wang lalu melarikan diri.

“Suspek sudah ditahan reman pada 10 November hingga semalam (kelmarin), ” katanya.

Kes disiasat Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan, dan Seksyen 457 kanun yang sama kerana pecah masuk rumah yang memperuntukkan hu­kuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: