PENGUNJUNG SETIA

23 November 2011

POLIS PATAH KAKI DIREMPUH


MUHAMMAD Salleh Abd. Razak melihat kaki kanan Mohd. Angawam Mikom yang patah akibat dirempuh penunggang motosikal di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, semalam.


LEDANG 22 Nov. – Seorang anggota polis patah kaki kanannya selepas dirempuh seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya di Parit Bunga, di sini awal pagi tadi.

Kejadian pukul 3 pagi itu berlaku ketika anggota berkenaan, Mohd. Angawam Maikom, 52, meronda bersama pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) berhampiran lokasi sekatan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Salleh Abd. Razak berkata, suspek datang dari arah Jambatan Kedua Muar menghala ke Sungai Mati itu dikatakan berpatah balik dan melawan arus selepas menyedari sekatan jalan raya.

“Mangsa bersama beberapa anggota SRS Parit Bunga melakukan rondaan di tepi jalan ketika itu. Mangsa meminta suspek berhenti tetapi lelaki itu enggan lalu merempuh mangsa.

“Penunggang motosikal itu kemudian melarikan diri manakala mangsa yang cedera dihantar untuk rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Salleh turut meluangkan masa bagi melawat Mohd. Angawam yang menjalani pembedahan.

Jelas beliau, pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan berusaha mengenal pasti penunggang motosikal berkenaan.

Katanya, mangsa yang merupakan anggota di Balai Polis Parit Bunga itu kini dalam keadaan stabil.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: