PENGUNJUNG SETIA

22 November 2011

'BANDAR PENCEN' PESAT MEMBANGUN, POPULAR


SEJAK 10 tahun kebelakangan ini, Daerah Muar yang terletak di kawasan Johor yang bersempadan dengan Melaka, semakin pesat membangun dan dikenali berbanding suatu ketika dulu yang sering dikaitkan sebagai bandar pencen atau pekan mati.

Daerah Muar mempunyai pelbagai tarikan pelancongan termasuk tempat bersejarah, makanan istimewa dan seni budaya yang mengasyikkan, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan unik yang perlu dilawati.

Muar yang bersempadan dengan daerah Ledang, Segamat, Batu Pahat dan negeri Melaka mempunyai pelbagai tarikan kerana memiliki pakej pelancongan lengkap termasuk eko-pelancongan, juadah istimewa, tempat bersejarah, perkampungan inap desa dan keindahan alam yang masih terpelihara.

Bandar Muar dibuka pada 1884 turut dikenali sebagai Bandar Maharani, memiliki bangunan zaman kolonial termasuk Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Bangunan Sultan Abu Bakar, Kubu Bentayan, Bangunan Kastam Diraja Malaysia, kompleks lama Mahkamah Tinggi/Sesyen, Pejabat Cawangan Polis Trafik Muar dan Sekolah Tinggi Muar, selain deretan kedai zaman kolonial yang kekal terpulihara.

Pentadbiran Daerah Muar di bawah Pegawai Daerahnya, Amran Abdul Rahman dan Majlis Perbandaran Muar (MPM) di bawah teraju Yang Dipertuanya, Zulkiflee Abbas, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti daerah itu termasuk melalui program Muar Daerahku, Bersih Idamanku sebagai matlamat utama memastikan persekitaran sihat dan indah, selain turut menjadikannya bandar hijau melalui penanaman pokok bersesuaian.

Sehubungan itu kawasan Rekreasi Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang yang terletak muara Sungai Muar turut diberi perhatian melalui projek penanaman pokok dan mengecat semula bangunan Dataran Tanjung Emas.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut meningkatkan kemudahan infrastruktur kawasan Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang dengan menyediakan pelbagai peralatan senaman, tempat duduk awam dan kemudahan pejalan kaki yang selesa, selain menggalakkan orang ramai menyertai program riadah J-Robik dan senaman taichi yang diadakan dijalankan di situ.

Selain itu antara projek terbaru dilaksana bagi meningkatkan pembangunan kawasan bandar ialah Uptown Maharani yang terletak di Jalan Sisi dengan kos RM3 juta menerusi perkongsian peruntukan antara Kerajaan Pusat dan negeri.

Kerja menyiapkan laluan berbumbung Uptown Maharani giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan, sekali gus mampu memberi tarikan baru dan menceriakan kawasan bandar dengan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan terutama pakaian dan kraftangan.

Konsep bandar selamat juga mula diterapkan di Muar apabila 16 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang pada lokasi strategik sekitar bandar itu bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa, manakala laluan pejalan kaki turut dipasang dengan halangan bagi keselamatan orang ramai.

Selain itu, langkah kerajaan mewujudkan Hab Pendidikan Pagoh yang terletak dalam daerah Muar secara tidak langsung mampu merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan dengan fasa pertama projek itu bermula tahun ini hingga 2015 di kawasan seluas 404.7 hektar.

Fasa pertama projek itu membabitkan empat institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Pagoh yang boleh menampung 16,800 pelajar dengan turut merangkumi kawasan perumahan baru, kemudahan komersial serta kemudahan asas dan awam.

Usaha berterusan dijalankan bagi membangunkan daerah Muar mampu meletakkannya sebaris dengan kawasan lain di Johor dan masa sama kerjasama semua pihak termasuk orang ramai juga penting bagi memastikan pembangunan dirancang tidak terencat.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: