PENGUNJUNG SETIA

25 November 2011

JKM PERUNTUK RM5j HADAPI BANJIR


KHATIJAH Abdullah bersama dua lagi pegawai JKM melihat simpanan barang-barang keperluan untuk mangsa banjir di Jalan Abdul Rahman, Muar, semalam.


MUAR 24 Nov. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sudah bersiap sedia untuk menyediakan keperluan makanan kepada mangsa banjir di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan negeri.

Pengarah JKM negeri, Khatijah Abdullah berkata, pihaknya telah melantik sebanyak 158 pembekal barangan makanan yang terletak berhampiran pusat-pusat pemindahan sementara di negeri ini dan lima pembekal pasar raya besar untuk keperluan dalam kuantiti yang banyak.

“Insya-Allah, setiap keperluan mencukupi dan kita telah bersiap sedia untuk menghadapi bencana banjir,” katanya selepas melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Zon Selatan di Jalan Abdul Rahman, di sini, semalam.

Menurutnya, persiapan awal untuk menghadapi bencana itu telah dibuat dengan barangan keperluan asas bernilai RM250,000 diagih-agihkan ke 48 pangkalan hadapan di seluruh negeri Johor.

“Pangkalan-pangkalan hadapan ini kita wujudkan di kawasan-kawasan yang berpotensi terputus hubungan jalan raya semasa banjir.

“Barangan asas yang kita tempatkan ini termasuk pakaian, tilam, selimut, telekung, tuala, lampin wanita dan air mineral,” katanya.

Beliau berkata, Depoh Simpanan Keperluan Bencana Zon Selatan terletak di Muar turut menempatkan barangan keperluan asas bernilai RM250,00 untuk persediaan kepada tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: