PENGUNJUNG SETIA

03 November 2011

10,816 TABIKA KEMAS DIBUKA TAHUN DEPAN


Hasan Malek bersalaman dengan pasukan futsal Tabika Kemas Johor di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Ledang, Johor, semalam.


LEDANG 2 Nov. - Pembukaan tabika Kemas di seluruh negara menerusi program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 orang di kawasan luar bandar untuk menjadi tenaga pengajar di pusat bimbingan berkenaan.

Tenaga pengajar tersebut diperlukan bagi memenuhi hasrat kerajaan memperluaskan pendidikan prasekolah dengan mewujudkan sebanyak 10,816 kelas tabika Kemas pada tahun 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pada tahun 2012, sebanyak 10,816 buah kelas tabika akan memberi faedah kepada 240,000 kanak-kanak di kawasan luar bandar.

"Pembukaan kelas ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada seramai 5,000 orang anak-anak muda kita dari kawasan luar bandar, perkampungan Orang Asli dan kawasan pedalaman, yang mempunyai kelayakan dan berminat dalam pendidikan awal kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Hasan Malek pada Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, malam tadi.

Program empat hari bermula kelmarin menghimpunkan 854 kanak- kanak tabika dari seluruh negara bagi acara sukan, 14 orang kanak- kanak bagi Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang manakala 28 guru tabika telah disenarai pendek sebagai Anugerah Pemaju Masyarakat.

Menurut Shafie, beliau berharap peluang pekerjaan di tabika Kemas itu dapat dimanfaatkan anak tempatan supaya dapat berkhidmat di tempat mereka sendiri tanpa perlu berhijrah ke tempat lain.

Kata beliau, usaha berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan tenaga pengajar tabika Kemas mempunyai kelayakan akademik di peringkat diploma dengan peluang melanjutkan pelajaran diberikan.

"Sehingga kini, seramai 2,330 guru tabika Kemas berkelulusan diploma dan sebanyak 1,902 orang sedang mengikuti pengajian itu. Seramai 3,741 orang akan mengikuti pengajian peringkat diploma mula tahun 2011 dan berakhir tahun 2015," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: