PENGUNJUNG SETIA

07 November 2011

RM15.2j UNTUK SEKOLAH AGAMA

LEDANG: Kementerian Pelajaran mengagihkan lebih RM15.2 juta kepada 39 sekolah agama di negeri ini bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran untuk keselesaan pelajar di sekolah terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata agihan itu membabitkan 33 Sekolah Agama Rakyat (SAR), dua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bantuan kewangan itu bagi membolehkan kualiti pendidikan di sekolah masing-masing ditingkatkan selain menyediakan kemudahan lebih selesa untuk pelajarnya.

"Saya sedar sesetengah sekolah agama tidak mempunyai dana yang cukup dan perjalanan yang tidak begitu lancar, justeru, kita amat mengalukan-alukan mana-mana sekolah agama tampil untuk didaftarkan sebagai SABK.

"Apabila SAR bertukar status kepada SABK, kerajaan dapat menyalurkan bantuan sewajarnya dengan lebih berkesan termasuk dari segi kelengkapan dan penyediaan tenaga pengajar yang bertauliah," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kepada Sekolah-Sekolah Agama negeri Johor di Sekolah Menengah Agama Shamusiddiniah, Parit Medan, Kundang Ulu, di sini, petang kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan SAR terpaksa bergantung kepada sumbangan derma bagi membiayai operasi harian dan kerajaan sedia membantu dari segi menyediakan dana untuk gaji guru agama serta bantuan latihan.

"Kerajaan melihat aspek pendidikan dalam soal yang lebih meluas dalam usaha melahirkan modal insan yang bukan saja pintar tetapi juga mempunyai pekerti mulia dan jati diri yang tinggi," katanya.

Pada majlis berasingan, Muhyiddin turut menyerahkan sumbangan tiga bot berserta enjin termasuk jaket keselamatan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kundang Ulu di sini.

Sumbangan lebih RM100,000 itu bagi persiapan membantu penduduk di kawasan terbabit berdepan banjir.

SUMBER: BERITA HARIAN, 07 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: