TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 November 2011

KEPAK BERI BANYAK MANFAAT

LEDANG 27 Nov. - Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) 2011 yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini berlangsung meriah dengan menawarkan pelbagai peluang kepada anak-anak tempatan mendapatkan kerjaya, memulakan perniagaan serta mempertingkatkan kemahiran diri.

Pelbagai pengisian turut dibuat sempena karnival selama empat hari bermula Khamis lalu itu, termasuk acara bola sepak jalanan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, demonstrasi batik air brush oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang dan Forum Perdana Sambutan Maal Hijrah 1433H/2011M.

Menurut salah seorang pengunjung, Suraya Fitri Mat Husain, 25, dia menggunakan kesempatan itu mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakannya sebagai graduan Ijazah Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Buat masa ini, saya sedang bekerja di syarikat alat tulis dan setelah ternampak iklan karnival ini di Segamat, saya mengajak bersama rakan saya untuk meninjau peluang yang ada," katanya yang berasal dari Kampung Paya, Segamat.

Katanya, Kepak mempunyai manfaat yang luas, namun dia berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan di dalam program karnival tersebut untuk pencari kerja sepertinya.

Sementara itu, Siti Fatimah Gahnehman, 25, berharap kehadirannya pada program Kepak itu dapat membantunya mendapat pekerjaan tetap.

"Sebelum ini, saya telah bekerja dengan banyak bank dan syarikat insurans namun semua jawatannya berbentuk kontrak, saya berharap rezeki dalam program Kepak ini dapat membolehkan saya mendapat pekerjaan tetap," katanya yang merupakan graduan Ijazah Pemasaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya, bagi membantu memperoleh pekerjaan yang lebih baik, dia turut mendaftarkan dirinya dalam portal Jobs Malaysia dan mengikuti bimbingan yang ditawarkan pada gerai pameran Jobs Malaysia di karnival berkenaan.

Dalam pada itu, menurut seorang pelajar, Mohd. Zakaria Sharif, 17, berkata dia mengikuti program Kepak bagi meneliti prospek kerjaya dalam bidang-bidang yang mempunyai permintaan dalam pasaran kerja.

"Saya sedang mengambil peperiksaan SPM dan apabila ada program ini, saya memanfaatkannya untuk melihat peluang-peluang kerjaya terutamanya dalam kejuruteraan automotif," katanya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Nazmi Mohd. Rafian, 17, berkata, program Kepak turut menawarkan peluang pekerjaan sambilan kepada golongan belia sepertinya yang akan selesai mengambil peperiksaan SPM hujung tahun ini.

"Saya belum keliling habis karnival ini namun saya turut nampak ada pelbagai kursus kemahiran yang juga mempunyai prospek untuk masa hadapan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: