PENGUNJUNG SETIA

06 November 2011

BAYI DIBUANG DALAM PARIT KEBUN SAWIT

LEDANG 5 Nov. - Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dibuang di dalam sebatang parit di kebun kelapa sawit di Kampung Melayu Raya, Sagil, di sini hari ini.

Si kecil yang masih bertali pusat dan dalam keadaan berbogel itu namun bernasib baik apabila ditemui seorang penoreh getah yang melalui kawasan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Salleh Abd. Razak berkata, lelaki itu terkejut apabila terdengar tangisan bayi tersebut di kebun yang terletak bersebelahan kebunnya.

"Dia lalu memaklumkan kepada anggota di Balai Polis Sagil dan sepasukan anggota polis telah pergi ke tempat kejadian. Semasa ditemui, bayi perempuan itu dalam keadaan bogel di dalam parit kecil yang tidak berair.

"Bayi itu dalam keadaan sihat dan dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dijumpai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ujarnya, bayi itu telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan dan ditempatkan di wad hospital berkenaan untuk pemerhatian lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, pihak polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu membuang bayi itu dan akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti ibu bapanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di talian 06-9781222 .

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 6 NOVEMBER 2011

1 ulasan:

5200v berkata...

salam ziarah...
kalau datang ke melaka...
sila layari... http://alaihomestay.blogspot.com/