PENGUNJUNG SETIA

06 November 2011

PPSMI: BUKAN KEPUTUSAN 'FLIP FLOP'


MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan penerima bantuan pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Negeri Johor di SMA Shamsuddiniah, Parit Medan, Ledang, Johor, semalam.

PAGOH 5 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan keputusan yang bersifat 'flip flop'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan dibuat setelah kerajaan mengambil kira hasil kajian yang dijalankan bahawa sebahagian besar sekolah tidak melaksanakan PPSMI, sebaliknya menggunakan dwi bahasa dalam proses pembelajaran dua subjek itu.

"Keputusan kerajaan ini bukan 'flip flop.' Sewaktu saya membuat penggulungan di Dewan Rakyat mengenai PPSMI pada 2009 bahawa kita tidak akan teruskan dasar ini dan akan menggunakan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), semua pihak bersetuju termasuk pemimpin pembangkang," ujarnya ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bahawa keputusan itu bersifat 'flip flop.'

Muhyiddin ditemui selepas dialog tertutup dengan ahli 91 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyerahan 98 ekor lembu korban bagi kawasan Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan PPSMI dibuat supaya ia tidak mengganggu proses pembelajaran pelajar apabila didapati antara lima hingga tujuh peratus sahaja kelas yang menggunakan sepenuhnya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Muhyiddin menegaskan, pemansuhan PPSMI kekal tetapi pelajar tahun dua hingga tingkatan lima yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebelum ini boleh meneruskannya sehingga tingkatan lima.

Beliau berkata, menerusi dasar MBMMBI, kini sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka.

Mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua baru-baru ini bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan bilangan kakitangan kerajaan jika berkuasa, Muhyiddin berkata, pakatan pembangkang tidak faham betapa besarnya sumbangan kakitangan awam dalam memajukan negara.

"Jumlah pegawai dan kakitangan kerajaan yang besar ini adalah berdasarkan keadaan dan keperluan serta beban tugas dalam memastikan proses penyampaian berjalan dengan licin. Tiada siapa boleh menafikan sumbangan pegawai kerajaan. Pembangkang tidak faham itu. Kalau mereka mahu, mereka boleh mulakan di negeri-negeri pakatan seperti Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 6 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: