TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 November 2011

JUMPA BAYI DALAM PARIT


Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my

LEDANG: “Saya sangka saya berkhayal atau ia hanya suara kucing apabila terdengar sayup suara menangis, namun terkejut apabila menemui seorang bayi di dalam parit,” kata penoreh getah, Mohd Shuib Md Dasin, 53, ketika ditemui di Kampung Melayu Raya, Sagil, di sini, semalam.

Shuib mengimbau kembali penemuan bayi perempuan berkenaan ketika dia menoreh getah di kebunnya yang terletak bersebelahan ladang kelapa sawit, jam 9 pagi semalam.


Menurut Shuib, dia terdengar suara seakan-akan bunyi menangis tanpa henti lantas mendorongnya untuk menyiasat.

“Saya mencari dari mana suara itu datang dan selepas beberapa minit, bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam parit yang tidak berair dan kelihatan letih kerana menangis tanpa henti.


“Saya bergegas memanggil isteri dan kemudian membalut bayi itu dengan kain untuk mengelakkannya kesejukan sebelum memaklumkan penemuan kepada penduduk kampung supaya menghubungi polis,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak ketika dihubungi berkata, anggota di Balai Polis Sagil menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan penemuan bayi itu.

“Kami bergegas ke sana sejurus kemudian dan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan sihat. Bayi itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditinggalkan di kebun getah.


“Bayi itu dihantar ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan sebelum ditempatkan di wad bagi pemerhatian lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi, dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Menurut Salleh, pihaknya akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mana-mana suspek bagi mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di talian 06-9781222 bagi membantu siasatan.

SUMBER: METRO AHAD, 6 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: