PENGUNJUNG SETIA

17 November 2011

KES PECAH RUMAH DI LEDANG SELESAI

MUAR 16 Nov. - Dalam tempoh tidak sampai tiga jam, polis berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah di Taman Tangkak 2, Ledang yang membabitkan nilai kerugian RM13,600 selepas menahan tiga orang suspek kes itu pada 9 November lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Muhammad Salleh Abd. Razak berkata, ketiga-tiga suspek berusia 19 tahun ditahan dalam satu serbuan pada pukul 4 petang di sebuah rumah di Taman Pelangi, Tangkak.

Sebelum itu, katanya, polis menerima laporan pada pukul 1.10 petang daripada seorang guru berusia 56 tahun yang mendapati biliknya berselerak apabila pulang ke rumah.

"Dalam tangkapan itu, polis turut menemui semula barang curi bernilai RM13,600 berupa dua utas rantai tangan, dua loket, dua subang, dua cincin, wang tunai RM600, telefon bimbit, kamera riba dan beberapa mata wang Singapura dan Brunei.

"Ketika kejadian, anak mangsa berusia 20 tahun berada dalam rumah namun dia tidak diapa-apakan dan hanya sedar selepas suspek melarikan diri," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di Dataran Pondok Polis Bukit Kepong di sini hari ini.

Menurut Muhammad Salleh, siasatan lanjut kes mendapati, salah seorang suspek terlibat dalam cubaan menyamun seorang peniaga makanan di Taman Indah, Tangkak pada pukul 5.15 pagi hari yang sama.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: