PENGUNJUNG SETIA

28 November 2011

1,140 KEKOSONGAN JAWATAN JOBS MALAYSIA

LEDANG 27 Nov. - JobsMalaysia Centre menawarkan 1,140 pekerjaan kosong di daerah Muar dan Ledang kepada pengunjung Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) 2011 yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

Karnival selama empat hari bermula Khamis lalu itu turut membawa bersama 20 syarikat yang menawarkan peluang kerjaya dalam pelbagai sektor termasuk perkilangan, perkhidmatan, peruncitan dan perladangan.

Pengurus Jobs Malaysia Centre Iskandar Malaysia, Mohd. Syahrul Syahid Mohd. Salleh berkata, pihaknya menyasarkan 250 penempatan kerja dapat dibuat melalui program di daerah Ledang ini dengan golongan sasaran adalah lepasan sekolah serta graduan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Mana-mana pengunjung ke gerai pameran JobsMalaysia akan kami daftarkan dan dibawa kepada majikan yang turut berada di sini untuk ditemuduga.

"Kita turut membantu mendaftarkan mereka ke dalam portal JobsMalaysia yang mempunyai lebih 12,000 kekosongan jawatan dan kami juga mengadakan klinik kerjaya untuk membantu mereka membina keyakinan diri dan penguasaan bahasa Inggeris," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Selain JobsMalaysia Centre, program Kepak yang memasuki edisi keempat di daerah Ledang ini turut menampilkan sebanyak 60 gerai pameran lain.

Menurut Pengarah Urusan Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri), Ja'apar Samat, pihaknya tidak ketinggalan membuka gerai pameran bagi mempromosikan peluang pendidikan dan kemahiran yang ditawarkan di Puspatri Pasir Gudang.

"Kami menawarkan kursus peringkat sijil kepada tiga kumpulan sasar iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan siswazah dan juga golongan pekerja untuk mempertingkatkan kemahiran," katanya.

Jelas beliau, kursus peringkat sijil selama 12 bulan kepada lepasan SPM ditawarkan secara percuma serta diberikan elaun dan ia memberi peluang kerjaya sebagai jurukimpal arka logam, juruteknik elektrik, mekanik industri, elektronik industri dan pemesinan am.

"Program Peningkatan Kemahiran Siswazah di Puspatri juga adalah percuma manakala kursus kemahiran kepada golongan pekerja pula melibatkan yuran yang berpatutan namun ia memberi kelebihan untuk pekerja memiliki kemahiran baru dalam industri yang berkembang pesat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Koridor Wilayah Selatan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Muhammad Hafizi Sulaiman berkata, penglibatan pihaknya dalam Kepak bertujuan menggalakkan penyertaan warga Johor dalam bidang francais.

"Program Kepak ini merupakan platform terbaik untuk kami mempromosikan skim pinjaman mikro francais bagi perniagaan yang bernilai di bawah RM50,000 dan sehingga kini, sambutannya amat menggalakkan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan: