TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

27 Julai 2012

9,800 KARTON ROKOK DIRAMPAS

Wartawan Sinar Harian

9,800 karton rokok dirampas
Harun (kiri) menunjukkan rokok tanpa cukai bernilai RM40,000 yang dirampas berikutan penahanan dua lelaki di kilometer 173.5 arah utara Lebuhraya Utara Selatan, 24 Julai lalu.
 
LEDANG– Cubaan dua lelaki untuk mengedar 9,800 karton rokok tanpa cukai gagal apabila mereka ditahan sepasukan anggota peronda lebuh raya Bukit Aman bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, 24 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, rokok bernilai RM100,000 itu dipercayai mahu diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, suspek berusia 48 dan 28 tahun terbabit ditahan jam 3.45 pagi di Kilometer 173.5 arah utara Lebuhraya Utara Selatan atas kesalahan membawa lori di lebuh raya dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu sarat membawa 196 kotak mengandungi 8,000 karton rokok warna merah dan 1,800 karton rokok warna hijau.

“Suspek bersama barangan rampasan termasuk sebuah lori dibawa ke IPD Ledang untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, semalam.

Harun berkata, kedua-dua suspek berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan kelindan lori berkenaan berusia 28 tahun dikehendaki polis berkaitan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, pada tahun 2006.

“Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan ditahan reman sehingga hari ini (semalam).

Sementara itu, dalam kes berlainan, anggota peronda lebuh raya Bukit Aman bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, menahan dua lelaki berusia 21 tahun kerana terbabit dalam kegiatan mencuri kereta. Harun berkata, suspek ditahan di Kilometer 172 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, kira-kira jam 6.15 pagi, kelmarin.

“Pada mulanya, suspek melarikan diri sehingga memaksa anggota polis mengejar mereka selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya ditangkap.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta Proton Waja yang dipandu suspek adalah kereta curi dengan mengikis nombor enjin dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Katanya, hasil siasatan ke atas salah seorang suspek yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Suspek dan kereta ini akan diserahkan ke IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 27 JULAI 2012

Tiada ulasan: