PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2012

GALAK PEMIMPIN MASYARAKAT SERTAI PERBARISAN


LEDANG: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 peringkat Daerah Ledang bermula Khamis ini.

Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin berkata, pelbagai acara menarik disediakan bagi memeriahkan suasana dan menarik penyertaan masyarakat daerah ini.

Ab Han berkata, berbeza tahun sebelum ini, pihaknya merancang menggalakkan penyertaan tiga kelompok utama penduduk Daerah Ledang bagi memeriahkan sambutan.

"Kelompok utama dikategorikan sebagai Pejuang Kemerdekaan iaitu pemimpin masyarakat setiap 85 kampung dalam daerah dijemput bagi menyertai perbarisan pada pagi 31 Ogos ini.

"Semua ini bertepatan dengan konsep 'Rakyat Didahulukan' dan kami mahu pemimpin serta penduduk kampung memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini, bukannya menyaksikan dari tepi," katanya.

Ab Han berkata, pihaknya menjemput kumpulan Pelaksana Kemerdekaan iaitu kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkanun menghadiri perbarisan kemerdekaan bermula pada jam 7.45 pagi.

Selain itu, katanya, kumpulan pewaris kemerdekaan iaitu golongan muda dijemput hadir memeriahkan majlis sambutan.

"Penganjur menjemput 2,000 kanak-kanak daripada Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) seluruh daerah ini dan secara keseluruhannya, kami jangkakan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 4,000 peserta akan memeriahkan sambutan kali ini.

"Menerusi sambutan ini, kami mahu orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat menghargai kepentingan kemerdekaan dan berusaha mengekalkannya," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 29 OGOS 2012

Tiada ulasan: