TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

27 Julai 2012

9,800 KARTON ROKOK RM40,000 DIRAMPAS

LEDANG 26 Julai - Sebanyak 9,800 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM40,000 dirampas hasil penahanan sebuah lori di Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini kelmarin.

Kesemua rokok tersebut yang diisi dalam 119 kotak bagi mengelirukan pihak berkuasa itu dirampas di Kilometer 173.5 arah utara lebuh raya itu kira-kira pukul 3.45 pagi oleh pegawai dan anggota Peronda Lebuh Raya Bukit Aman bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, dua lelaki ditahan iaitu pemandu berumur 48 tahun dari Taman Desa, Senawang, Negeri Sembilan dan kelindannya berusia 28 tahun dari Taman Jasmine, Senawang.

"Hasil siasatan mendapati rokok berkenaan untuk dihantar ke Lembah Klang. Ini adalah kejayaan rampasan rokok terbesar dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini di Ledang.

"Kedua-dua suspek negatif dadah tetapi kelindan tersebut mempunyai tiga rekod jenayah lampau di Jasin, Melaka, yang semuanya bersangkut dengan kes dadah," katanya pada sidang akhbar di IPD Ledang, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, antara jenama rokok tersebut adalah League dan Mental Ice yang tidak terdapat di pasaran negara ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 1351 (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, pihaknya menahan tiga remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah kerana menggunakan motosikal curi di dua lokasi di sekitar daerah ini.

Harun berkata, dua suspek ditahan di Taman Wawasan, Tanjung Agas, Sungai Mati, dekat sini kerana menggunakan motosikal curi jenis Honda Wave yang dilaporkan hilang di Muar pada tahun lalu.

Katanya, mereka ditahan pukul 11.15 malam iaitu suspek pertama di rumahnya di taman berkenaan manakala seorang lagi di rumahnya di Taman Mulia, Kesang Laut dan siasatan mendapati kedua-duanya tidak bekerja.

Selepas sidang akhbar itu, Harun memusnahkan 95 unit komputer bernilai kira-kira RM300,000 di pekarangan IPD Ledang yang dirampas kerana digunakan untuk aktiviti perjudian.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JULAI 2012

Tiada ulasan: