PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2012

KURANG AJAR!

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


TANGKAK: Kurang ajar dan tidak menghormati sensitiviti agama! Itulah dilakukan pengurusan sebuah pusat tuisyen di sini, apabila menggunakan pelbagai karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam nota ringkas subjek Sejarah yang diajar kepada pelajarnya.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, dalam nota itu ada 16 sahabat nabi yang disamakan dengan karikatur dan mencerminkan perwatakan tidak baik.

Katanya, nota tingkatan empat, bab lima, Kerajaan Islam di Madinah memaparkan karikatur 16 sahabat nabi dan paling menyedihkan, watak Zubir Al-Awwam disamakan dengan haiwan berwajah khinzir.

"Lebih biadab apabila menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman Affan dihina dengan karikatur dan digambarkan sebagai lelaki kaki perempuan serta menghina institusi perkahwinan umat Islam.

"Gambaran dilakukan guru sejarah pusat tuisyen itu boleh menimbulkan kemarahan orang Islam kerana rasa terhina atas perbuatan yang dianggap melampaui batas itu.

"Zubir Al-Awwam antara 10 sahabat nabi yang dijamin masuk syurga dan pengiktirafan itu menggambarkan kedudukan tinggi Zubir Al-Awwan di sisi Allah.

"Jadi, adalah tidak wajar sahabat nabi itu digambarkan dengan karikatur haiwan haram berkenaan," katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Daerah, di sini, semalam.

Menurutnya, pejabatnya menerima aduan berbentuk nota yang diserahkan oleh seorang lelaki pada 4 Julai lalu.

Katanya, nota itu ditemui di tepi longkang sebuah sekolah menengah di Tangkak oleh pelajar sekolah itu.

"Ia kemudian diserahkan kepada guru agama sekolah berkenaan sebelum diserahkan kepada anggota kami.

"Berikutan penemuan itu, kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang pada 26 Julai lalu dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas.

Katanya, sebagai pusat tuisyen yang bertanggungjawab, pengurusan premis itu perlu meminta maaf secara terbuka kerana perbuatan itu menyinggung umat Islam negara ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

SUMBER: METRO AHAD, 29 JULAI 2012

Tiada ulasan: