TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Julai 2012

SELAMBA PERGI KERJA TUNGGANG MOTOR CURI


LEDANG: Seorang lelaki warga Indonesia bukan saja masuk ke negara ini secara haram kurang sebulan lalu, tetapi turut melakukan jenayah dengan mencuri motosikal jenis Yamaha 100 untuk digunakan ketika bekerja.

Suspek berusia 27 tahun ditahan pada jam 12 tengah hari, 23 Julai lalu didapati mencuri motosikal itu di sekitar Bukit Gambir.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek ditahan di sebuah pondok di kebun sayur di Sengkang.

"Ketika ditahan, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan dan siasatan mendapati dia baru masuk ke negara ini sebelum mencuri motosikal berkenaan untuk bekerja.

"Kami masih menyiasat sama ada suspek mempunyai rakan jenayah lain atau sebaliknya," katanya.

Dalam kejadian berasingan, tiga remaja berusia 17 tahun turut ditahan kerana terbabit mencuri motosikal di Tanjung Agas dan Sagil, di sini, pada 21 serta 24 Julai lalu.

Dalam tangkapan pertama pada 21 Julai lalu, seorang remaja lelaki dari Kampung Jawa, Segamat ditahan di Batu 27, Jalan Muar-Segamat, Sagil ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan ke atas motosikal Honda EX5 ditunggangnya mendapati nombor enjin dan casisnya sudah dikikis.

"Pemeriksaan turut mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. Jentera juga sudah diubahsuai untuk digunakan dalam lumba haram," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 JULAI 2012

Tiada ulasan: