TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2012

KARIKATUR HINA SAHABAT RASULULLAH


TANGKAK: Sebuah pusat tuisyen di sini, didakwa menggunakan pelbagai karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam nota ringkas bagi mata pelajaran Sejarah diajar kepada pelajar bukan Islam.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin, berkata nota Tingkatan Empat, bab lima bertajuk Kerajaan Islam di Madinah memaparkan karikatur 16 sahabat Nabi dan antara paling menyedihkan apabila Zubir AlAwwam disamakan dengan haiwan berwajah babi.

Katanya, menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman Affan turut dihina dengan karikatur seorang kaki perempuan, sekali gus menghina institusi perkahwinan umat Islam.

Gambaran dilakukan guru

"Gambaran dilakukan guru itu boleh menimbulkan kemarahan orang Islam yang akan turut rasa terhina atas perbuatan melampaui batas itu. Zubir AlAwwam antara 10 sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga, cukup menggambarkan kedudukan tinggi di sisi Allah.

"Memang tidak wajar sahabat Nabi digambarkan dalam karikatur haiwan haram berkenaan," katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Daerah Ledang (PADL), semalam sambil menambah kakitangannya menerima nota itu pada 4 Julai lalu daripada seorang lelaki.

Nota berkenaan sebelum itu dikatakan ditemui seorang pelajar sekolah menengah di bandar ini di tepi longkang sekolah itu sebelum diserahkan kepada guru agamanya. Berikutan itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang, Khamis lalu meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.

Perlu diberi amaran keras

Sulaiman menegaskan, pusat tuisyen terbabit perlu diberikan amaran keras dan guru Sejarah berkenaan harus meminta maaf secara terbuka kerana menyinggung perasaan umat Islam.

"Kami bimbang perbuatan tidak bertanggung jawab ini akan menjadi serius. Ini yang kita jumpa, yang kita tidak jumpa mungkin lebih teruk. Saya sangat sedih dan marah kerana tindakan menghina sahabat Nabi sama seperti menghina Rasulullah. Sahabat nabi pejuang Islam bergelar Radhiallahu `anhu yang dijamin syurga," katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan.

SUMBER: BH AHAD, 29 JULAI 2012

Tiada ulasan: