PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2012

BAPA, ANAK KENA CEKUP CURI MOTOSIKAL


Ledang: Seorang bapa dan anak lelakinya berusia 18 tahun dari Sungai Mati, dekat sini, dicekup polis kerana terbabit dalam kegiatan mencuri kenderaan, selain turut positif dadah.

Kegiatan dua beranak terbabit terbongkar selepas ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang ketika menunggang motosikal Yamaha dengan nombor pendaftaran palsu di Lebuhraya Segamat- Kuantan, kira-kira jam 1 pagi, 6 Julai lalu.

Siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai terbabit dalam kes kecurian sebuah motosikal di Bukit Gambir, dekat sini, sehari sebelumnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, susulan penahanan lelaki berusia 41 tahun dan anaknya itu, polis menemui sebuah kereta jenis Inokom Atos yang dilaporkan hilang di Batu Pahat pada 2009.

Dua suspek positif dadah

Katanya, kereta itu turut mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dan penahanan dua suspek terbabit dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes cuti kenderaan di daerah ini.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 (a)(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Dalam perkembangan lain, katanya, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun ditahan di sebuah taman perumahan, Ahad lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 di Kluang, minggu lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah di Jasin pada 2009 dan ujian air kencing juga didapati positif dadah jenis morfin.

"Seorang lagi suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan mereka berdua ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan," katanya.

SUMBER: BH, 13 JULAI 2012

Tiada ulasan: