TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Julai 2012

PERBUATAN BIADAP

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


TANGKAK: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan bijak bagi mengelak lukisan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW terus berleluasa hingga menimbulkan keadaan tidak tenteram.

Pengerusi Persatuan Imam Daerah Ledang, Salimin Abdul Ghani berkata, umat Islam perlu mempertahankan maruah Rasullullah, khalifah serta sahabat yang begitu hebat berjuang ketika menyebarkan Islam hingga sekarang ini.

"Saya berasa sangat sedih dan kesal dengan kejadian ini dan tak sangka perkara menghina agama masih boleh berlaku dan membabitkan kalangan orang berpendidikan dan mengajar subjek Sejarah.

"Sebagai pendidik, guru berkenaan sepatutnya menyampaikan ilmu dengan cara yang betul dan bukannya membuat penambahan hingga boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam.

"Berikutan itu, saya akan memanggil ahli jawatankuasa untuk mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan isu dan membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, pihaknya merasakan mungkin pengurusan pusat tuisyen itu mempunyai motif serta agenda yang tersembunyi di sebalik pengedaran nota sejarah mengandungi karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW itu.

Katanya, pihak berkuasa perlu segera menyiasat kerana ia mungkin boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

"Saya mewakili Persatuan Imam Daerah Ledang sedih dan kesal dengan penyiaran nota berkenaan.

"Ia ternyata perbuatan melampaui batas kerana tiada agama yang membenarkan penganutnya mencaci agama lain.

"Berikutan itu, persatuan kami mendesak supaya polis menyiasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian ini berulang," katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan, pengurusan sebuah pusat tuisyen, di sini, menggunakan pelbagai karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam nota ringkas subjek Sejarah yang diajar kepada pelajarnya.

Di dalam nota itu, ada 16 sahabat nabi disamakan dengan karikatur dan mencerminkan perwatakan tidak baik.

Nota untuk pelajar tingkatan empat, bab lima, Kerajaan Islam di Madinah itu memaparkan karikatur 16 sahabat nabi dan paling menyedihkan, watak Zubir Al-Awwam disamakan dengan haiwan berwajah khinzir.

Lebih biadab apabila menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman Affan dihina dengan karikatur yang menggambarkannya sebagai lelaki kaki perempuan serta menghina institusi perkahwinan umat Islam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima satu laporan polis yang dilakukan pihak lain berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, Harun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 JULAI 2012

Tiada ulasan: