TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

24 Julai 2012

SAHAM WAKAF JOHOR DIPERKENAL

SITI NOOR SEPEE

Mustapahayuddin menunjukkan laman web skim Saham Wakaf Johor.
Mustapahayuddin menunjukkan laman web skim Saham Wakaf Johor.
 
JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Johor (Maij) memperkenalkan skim Saham Wakaf Johor dalam memberikan kemudahan kepada umat Islam dalam melaksanakan ibadah dan ia bermula dengan RM10 bagi satu unit.

Penolong Pengarah Wakaf, Mustapahayuddin Abdul Halim berkata, skim yang diperkenalkan sejak tahun 1993 itu diakui lebih mudah melalui pelbagai kemudahan pembayaran termasuk bayaran di kaunter Maij atau Proses Pertukaran Kewangan (FPX).

Menurutnya, skim ini diperkenalkan apabila menyedari tidak semua individu yang ingin melaksanakan ibadah mampu mewakafkan tanah atau bangunan, malah melalui sumber kewangan diperoleh ia disalurkan kepada projek saham wakaf.

“Dengan adanya skim saham wakaf ini, seluruh umat Islam tidak kira  miskin atau kaya berpeluang untuk beramal jariah mengikut kemampuan masing-masing.

"Malah ada semasa kita mengadakan ceramah, pelbagai peringkat umur menyertainya termasuk pelajar dan warga emas.

“Projek yang termasuk dalam saham wakaf adalah Wakaf Bangunan Peniagaan di Fortune Point, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya membabitkan kos sebanyak RM1,573,560.

Ia bertujuan memuka peluang perniagaan di Wilayah Pembangunan Iskandar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pihaknya turut menyediakan projek wakaf Mushaf al-Quran melalui skim berkenaan membabitkan kos pembelian RM1,485,000.

Sebanyak 30,000 naskah Mushaf al-Quran akan diperuntukkan, seterusnya diagihkan ke sekolah-sekolah agama di seluruh negeri.

Selain itu, skim berkenaan turut disalurkan kepada wakaf sekolah agama dengan kos dianggarkan RM280 juta untuk membangunkan sebanyak 121 sekolah agama di negeri ini, manakala Wakaf Asrama Pelajar Mesir dengan kos RM6 juta.

“Skim ini bukan sahaja dibuka untuk umat Islam di negeri ini, malah kita pernah menerima wakaf daripada orang bukan Islam, termasuk orang Islam yang tinggal di luar negara seperti Jepun, Brunei dan Singapura.

“Kita mempelawa orang ramai untuk melaksanakan ibadah wakaf khususnya di bulan Ramadan ini, untuk keterangan lanjut sila layari www.e-wakafjohor.gov.my,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 24 JULAI 2012

Tiada ulasan: