TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2012

99 DITAHAN, DADAH RM50,000 DIRAMPAS

HARUN Idris (kiri) melihat dua buah motosikal curi yang dirampas polis di Tangkak, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 12 Julai - Seramai 99 penagih ditahan di beberapa rumah dan tempat awam sekitar daerah ini sepanjang bulan lalu membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM50,000.

Ketua Polis daerah, Supritendan Harun Idris berkata, mereka yang ditahan di Ledang, Tangkak dan Sungai Mati itu berumur antara 17 hingga 56 tahun termasuk seorang wanita.

"Selain 99 orang ini ditahan atas kesalahan menagih dadah, ada antaranya yang melakukan kesalahan lain contohnya 13 orang daripadanya mengedar dadah secara kecil-kecilan dan tujuh lagi memiliki dadah.

"Antara dadah yang kita rampas adalah heroin seberat 50.87 gram, ganja 1.38 gram, syabu 19.10 gram dan ekstasi 0.9 gram yang semuanya dianggarkan bernilai RM50,000," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di sini hari ini.

Harun berkata, sarang penagih di sini digempur kerana kebanyakan mereka terlibat dengan jenayah selain untuk membanteras serta mencegah kegiatan penyalahgunaan dadah.

Dalam kes berlainan, polis turut menahan dua beranak yang juga penagih dadah di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat kira-kira pukul 1 pagi Jumaat lalu kerana mencuri sebuah kereta dan motosikal.

Suspek pertama yang berusia 41 tahun berasal dari Sungai Mati dan anaknya, 18, dari Parit Batu Mengkebang, Kuala Kerai, Kelantan didapati positif morfin dan bekerja sebagai buruh.

"Kedua-dua beranak ini dipercayai terlibat dengan kecurian motosikal Yamaha Ego di Bukit Gambir, di sini pada 5 Julai lalu dan kereta Inokom Atos yang hilang di Buloh Kasap, Segamat pada 2009," katanya sambil memberitahu suspek direman hingga esok dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, seorang lagi penagih dadah berusia 23 tahun dari Taman Ledang, Sagil ditahan di rumahnya pukul 2.30 pagi kelmarin kerana terlibat dalam dua kes pecah rumah di kawasan kediamannya pada 25 Mei lalu dan satu lagi di Taman Warisan, Sagil, 5 Julai lalu.

Suspek yang positif morfin tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan semasa serbuan polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebentuk cincin emas dan seutas loket emas.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JULAI 2012

Tiada ulasan: