TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

29 November 2012

LALAT GANGGU KESIHATAN, KETENTERAMAN PENDUDUK


TIO Lian Hua membersihkan lantai rumahnya setelah diserang ribuan lalat sehingga mengganggu ketenteraman dan keselesaan keluarganya di Taman Pulai Utama, Serom, di Ledang, Johor, semalam. 
Ledang 28 Nov. - Lebih 200 penduduk dari 57 buah keluarga di Taman Pulai Utama, Serom, dekat sini, berdepan masalah lalat yang terlampau banyak sejak akhir-akhir ini sehingga menganggu keselesaan hidup dan dibimbangi menjejaskan kesihatan mereka.

Menurut mereka, lalat akan datang dalam jumlah yang banyak terutama semasa menghidangkan makanan dan puncanya didakwa dari reban ayam yang diusahakan berhampiran taman itu dengan keadaan bertambah teruk sejak tiga minggu lalu.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati kedudukan reban ayam berkenaan hanya 500 meter dari kediaman penduduk dan lalat sentiasa berterbangan serta menghurungi kawasan rumah terutama mereka yang tinggal di Jalan Pulai 6.

Seorang penduduk, Tio Lian Hua, 51, berkata, masalah itu menjejaskan aktiviti harian penduduk terutama ketika menyediakan makanan dan terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa bagi mengelakkan lalat memasuki rumah, selain pencemaran bau busuk.

"Punca lalat terlalu banyak kerana penyelenggaraan dan pengawalan yang tidak dilaksanakan secara berkala menyebabkan lalat membiak dengan banyak. Kami yang tinggal berdekatan pula yang menjadi mangsa.

"Disebabkan masalah ini, keluarga kami terpaksa tinggal di rumah anak saya di pekan Bukit Gambir sejak seminggu lalu akibat tidak tahan dengan kehadiran lalat yang semakin banyak setiap hari," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suri rumah, Zuriyana Kamiso, 28, pula berkata, keadaan lebih teruk apabila musim hujan.
"Lalat membiak dengan banyak dan sebelum ini gangguan tersebut hanya berlaku satu atau dua minggu saja tetapi kini berlarutan hingga tiga minggu,'' katanya.

Dia turut tidak tahan lagi dengan masalah tersebut yang seolah-olah tidak terkawal dan khuatir kesihatan anak-anaknya turut terjejas jika masalah itu terus dibiarkan.

"Apabila ada majlis keramaian seperti kenduri atau perayaan, tetamu yang hadir juga tidak selesa apabila makanan yang disediakan dihurungi lalat," katanya yang tinggal di taman berkenaan sejak dua tahun lalu.

Jirannya, Teo Keng Ching, 35, mahu pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang membelenggu penduduk taman berkenaan kerana kini semakin kritikal kerana situasi serupa pernah berlaku pada awal Januari lalu, namun tindakan penguat kuasa berjaya memastikan pengusaha reban tersebut mematuhi peraturan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: