PENGUNJUNG SETIA

29 November 2012

LALAT GANGGU PENDUDUK

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

Ledang: Lebih 50 keluarga penduduk Taman Pulai Utama, Serom di sini, terpaksa mengharungi kehidupan harian dalam suasana tidak selesa berikutan gangguan lalat setiap hari.

Keadaan itu merisaukan mereka terutama ketika menghidangkan makanan kepada ahli keluarga apabila lalat menghurung makanan jika tidak ditutup segera.

Punca daripada reban ayam 

Mereka mendakwa keadaan itu berpunca daripada reban ayam yang diusahakan pengusaha berhampiran taman itu dan keadaan berlarutan sejak tiga minggu lalu.

Tinjauan BH mendapati kedudukan reban ayam hanya 500 meter dari kediaman penduduk dan lalat sentiasa berterbangan menghurung kawasan rumah t e r u t a m a mereka yang tinggal sekitar Jalan Pulai 6.

Penduduk, Tio Lian Hua, 51, berkata masalah lalat yang banyak  m e n j e j a s k a n aktiviti harian penduduk terutama ketika menyediakan makanan untuk keluarga.

“Penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa bagi mengelakkan lalat memasuki rumah selain pencemaran bau busuk.

“Penyelenggaraan dan pengawalan yang tidak dilaksanakan secara berkala menyebabkan lalat membiak dengan banyak dan kami menjadi mangsanya,” katanya ketika ditemui.

Lian Hua berkata, keluarganya terpaksa menumpang rumah anaknya di pekan Bukit Gambir sejak seminggu lalu akibat tidak tahan kehadiran lalat yang semakin banyak setiap hari.

Keadaan lebih buruk ketika hujan

Suri rumah, Zuriyana Kamiso, 28, berkata keadaan lebih buruk berlaku ketika musim hujan apabila lalat membiak dengan banyak.

Beliau berkata, kebiasaannya gangguan lalat hanya berlaku satu atau dua minggu saja tetapi kini sudah berlarutan hingga tiga minggu dan semakin mengganggu keselesaan penduduk.

“Kami tidak tahan lagi dengan masalah gangguan lalat ini yang semakin banyak dan khuatir kesihatan anak turut terjejas.

“Apabila ada majlis keramaian seperti kenduri atau perayaan, tetamu yang hadir juga tidak selesa apabila makanan yang disediakan dihurung lalat, “ katanya yang tinggal di taman itu sejak dua tahun
lalu.

Jirannya, Teo Keng Ching, 35, mahu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang membelenggu penduduk taman berkenaan.

Katanya, pada awal Januari lalu, penduduk pernah membuat aduan kepada pihak berkaitan mengenai masalah sama dan pengusaha mematuhinya susulan tindakan pihak berkuasa, namun kini masalah itu berulang semula.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat memastikan pengusaha ternakan mematuhi syarat dengan menyelenggara dan membasmi lalat dan bau busuk secara berkala demi keselesaan dan kesihatan penduduk di sini," katanya.

SUMBER: BH JOHOR, 29 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: