TONTON ASTRO AWANI

DAPATKAN DVD TUTORIAL PHOTOSHOP DALAM BAHASA MELAYU

KHABAR ORANG JOHOR

KHABAR ORANG JOHOR

BISNES CETAKAN T-SHIRT & CENDERAHATI DENGAN MODAL RENDAH

MesinCetak.my

PENGUNJUNG SETIA

ALBUM iNFOLEDANG

Loading...

16 November 2012

TRANSFORMASI DI BUKIT GAMBIR

Wartawan Sinar Harian

Transformasi di Bukit Gambir
Pekan Bukit Gambir ketika tahun 1990an
 
Transformasi di Bukit Gambir
Pekan Bukit Gambir kini dilengkapi dengan beberapa institusi perbankan

LEDANG – Pekan Bukit Gambir yang kini berubah wajah apabila turut mengalami transformasi dan pembangunan yang begitu pesat.

Kerancakan pembangunan di pekan ini bermula sekitar tahun 2000, iaitu kira-kira 10 tahun selepas kejadian kebakaran besar  yang hampir memusnahkan  deretan kedai di pekan tersebut.

Bermula dengan pembinaan bangunan kedai dan perumahan, pekan Bukit Gambir kini memiliki pusat komersial termasuk pasar raya dan institusi perbankan.

Selepas diiktiraf sebagai bandar baru Bukit Gambir pada 2003, Bukit Gambir berjaya menyaingi kemajuan Bandar Tangkak yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pekan itu.

Adun Gambir, M. Asojan berkata, pembangunan di sini terus rancak dengan pembinaan Plaza Tol Bukit Gambir oleh Plus Expressways Bhd (Plus ).

Menurutnya, projek bernilai kira-kira RM80 juta itu dijadualkan siap pada penghujung Disember tahun hadapan, dibina khusus untuk kemudahan pengguna lebuh raya dan penduduk Bukit Gambir.

“Apabila tol Bukit Gambir siap, saya menjangkakan Bukit Gambir akan terus menjadi tumpuan dan pilihan masyarakat luar.

“Ketika ini, fasa pertama pembinaan Plaza Tol Bukit Gambir sudah siap 60 peratus, manakala fasa kedua baru bermula 10 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Asojan berkata, apabila plaza tol itu siap, Bukit Gambir akan menjadi lebih sibuk dan bilangan penduduk juga dijangka bertambah berbanding ketika ini mempunyai 40,000 penduduk.

"Selain itu, Bukit Gambir Sentral yang menempatkan perhentian bas dan teksi bakal dibina tidak lama lagi berhampiran pasar awam dan pasar raya Econsave.

“Perbincangan sudah dalam peringkat akhir yang mana Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Upen) dan Majlis Daerah Tangkak telah melakukan kajian dan Kerajaan Negeri juga sudah meluluskan peruntukan.

“Projek ini dianggarkan bernilai RM2 juta dan dijangka pembinaannya dimulakan awal tahun hadapan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, dalam kerancakan pembangunan di Bukit Gambir, kawasan bermasalah yang sering dilanda banjir  kilat seperti di Taman Seri Jaya tidak diabaikan.

“Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan ini membabitkan kos bernilai RM1 juta telah dilakukan dua peringkat pada 2009 dan 2010.

“Satu lagi kawasan Pusat Perniagaan Taman Jingga berhampiran persimpangan Jalan Sengkang juga di naik taraf dengan meminta pihak pemaju supaya memastikan sistem perparitan mengalir ke sungai berhampiran bagi mengelakkan risiko banjir kilat,” katanya.

Katanya lagi, jalan raya di pekan Bukit Gambir turut dilebarkan menjadi empat lorong bagi melancarkan aliran trafik berikutan pertambahan drastik jumlah kenderaan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, kepesatan pembangunan telah memberi impak kepada pasaran hartanah di sini yang menyebabkan  harga melonjak lebih   tinggi.

“Banyak kawasan perumahan baru dibuka yang menyediakan pelbagai kategori bermula rumah kos rendah hingga rumah mewah,” katanya.

Dalam  pada itu,  Asojan berkata, beliau berkeyakinan dengan konsep pembangunan terancang, masalah sosial yang sering dikaitkan dengan pembangunan akan dapat dikawal.

“Ini kerana Majlis Daerah Tangkak tidak meluluskan lesen untuk membuka pusat hiburan seperti karaoke dan snuker di sini” katanya.

Tambahnya, Bukit Gambir bakal menjadi pusat komersial yang diharapkan terus mengekalkan tawaran harga yang murah dan kompetitif.

“Jika dapat mengekalkan harga rendah seperti hari ini, saya yakin Bukit Gambir dapat menarik lebih ramai kunjungan masyarakat luar untuk berbelanja,” katanya.

Penduduk Bukit Gambir, Salamah Abu Bakar, 36, berkata, sebagai anak jati Bukit Gambir, dia gembira dengan usaha dilakukan kerajaan untuk membangunkan kawasan ini.

“Pekan ini yang dulunya kurang dikunjungi dan tidak dikenali kini bertukar wajah dan semakin meriah dengan kehadiran pengunjung.

“Jika 10 tahun lalu dia terpaksa ke bandar Tangkak atau Muar untuk mendapatkan barangan keperluan atau khidmat perbankan tetapi kini, semuanya boleh didapati di pekan ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: