PENGUNJUNG SETIA

30 November 2012

BAPA WARTAWAN HARIAN METRO MENINGGAL DUNIA


LEDANG: Bapa wartawan Harian Metro, Zaiti Satibi, Satibi Abd Jalil, 68, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kelmarin, berikutan organ gagal berfungsi akibat jangkitan kuman.

Menantunya, Zuhri Iskandar Kamarzaman, 41, berkata Satibi dimasukkan ke ICU kerana jangkitan kuman selepas mentuanya kemalangan jalan raya Isnin lalu, dalam perjalanan ke masjid.

"Ketika itu arwah menunggang motosikal dan dalam perjalanan ke masjid berhampiran apabila dilanggar motosikal lain menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh.

"Arwah dibawa ke hospital untuk rawatan, namun dibenarkan pulang kerana cedera ringan," katanya.

Menurutnya, sehari selepas itu, arwah mengadu sakit perut dan sukar membuang air kecil.

"Berikutan itu, beliau dikejarkan ke hospital dan dirujuk ke ICU kerana disyaki jangkitan kuman yang memerlukan pembedahan segera, Selasa lalu.

"Kami difahamkan saluran ususnya bocor dan kuman memasuki organ penting.

"Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas pembedahan, mentua meninggal dunia kerana kencing manis dan darah tinggi," katanya ketika ditemui rumah arwah di Kampung Simpang Lima, Bukit Gambir di sini.

Satibi menghembuskan nafas terakhir jam 10 malam kelmarin (Rabu) di sisi isteri, Hamidah Othman, 57 dan empat anak termasuk wartawan Harian Metro, Zaiti Satibi.

Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, Bukit Gambir, jam 11.30 pagi semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: