PENGUNJUNG SETIA

25 November 2012

SULTAN IBRAHIM SAKSIKAN PERARAKAN KERETA BERHIAS


KERETA berhias Jabatan Kerja Raya Johor yang turut mewarnai kemeriahan perarakan kereta berhias sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di Jalan Arab, Muar semalam. - MINGGUAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 24 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli menyaksikan perarakan kereta berhias di Jalan Arab malam tadi bersempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang disambut selama lima hari lima malam di bandar ini.

Baginda dipersembahkan dengan perarakan 25 buah kereta berhias, lebih 120 motosikal berkuasa tinggi dan dihiburkan dengan persembahan daripada 11 kumpulan kebudayaan yang mewakili pelbagai kaum.

Perarakan sejauh empat kilometer itu yang melalui tempat duduk Sultan Ibrahim di pekarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim disertai oleh jabatan dan agensi kerajaan termasuk dewan-dewan perniagaan di sini.

Para peserta menampilkan rekaan dan konsep tersendiri mengikut kreativiti masing-masing selain turut memperlihatkan identiti agensi atau dewan perniagaan yang diwakili tetapi bertepatan dengan tema sambutan berkenaan.

Mereka yang terlibat adalah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Persada Johor, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Gabungan Persatuan-Persatuan Tiong Hwa Muar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MBJBT) dan Petronas.

Turut mengambil bahagian Dewan Perniagaan Cina Muar, Jabatan Pertanian negeri, Majlis Perbandaran Kulai (MPK), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Iskandar Malaysia, Taw Thian Keong Vegetarian Members Benevolent Association, Lembaga Pertubuhan Peladang, Iskandar Waterfront, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kerja Raya.

Turut berkenan berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah, bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah, puteri dan puteranya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; isterinya, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil.

Kira-kira 15,000 penduduk pelbagai kaum termasuk pelancong asing berdiri di kiri dan kanan jalan tersebut menyaksikan perarakan itu yang julung kalinya diadakan di sini.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: