TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

24 November 2012

WANITA TERSELAMAT KERETA REMPUH TIANG ELEKTRIK

SEBUAH Perodua VIva remuk dan terbalik selepas melanggar tiang elektrik hingga putus dua di Tanjung Gading, Jalan Lebuh Raya Ayer Keroh-Jasin, dekat Ledang, Johor, kelmarin. 
LEDANG 23 Nov. - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang wanita apabila terselamat selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Kilometer 8, Lebuh Raya Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat Tanjung Gading di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang di kawasan sempadan antara daerah ini dan Melaka, mangsa, Ainul Ashikin Ismail, 26, hanya mengalami kecederaan di bahu meskipun kereta Perodua Viva dipandunya remuk teruk.

Mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menerima rawatan lanjut selepas dikeluarkan oleh pihak bomba.

Mangsa yang memandu bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang dari Melaka ke rumahnya di Muar.

Seorang saksi, Daud Yusof, 53, berkata, kira-kira 10 minit sebelum kejadian, kereta mangsa memotong motosikal ditungganginya yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan di pekan Sungai Rambai, Melaka.

Menurutnya, pada jarak 20 meter dia terlihat Perodua Viva itu hilang kawalan lalu merempuh tembok jalan sebelum melanggar tiang lampu elektrik.

"Saya memecut motosikal ke tempat kejadian dan terkejut melihat kereta tersebut terbalik dan pemandunya tersepit sambil menahan kesakitan.

"Penduduk kampung yang menyedari kemalangan ini cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi tidak berjaya kerana kereta tersebut berkedudukan terbalik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, sebanyak 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
Pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dikejarkan ke hospital.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: