PENGUNJUNG SETIA

17 November 2012

JANDA ANAK 8 DITANGKAP KHALWAT DENGAN LELAKI BANGLADESH

LEDANG 16 Nov. - Seorang ibu tunggal beranak lapan yang baru sahaja tamat tempoh idah selepas diceraikan kali ketiga oleh suaminya, ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki Bangladesh di sebuah rumah di Sungai Mati, dekat sini, malam semalam.

Dalam serbuan oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) kira-kira pukul 11.30 malam itu, pasangan terbabit didapati sedang berbaring di atas katil di dalam sebuah bilik yang disewa oleh lelaki warga asing itu.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, pihaknya menunggu selama lima minit sebelum pintu rumah dibuka oleh seorang lelaki iaitu rakan kepada lelaki Bangladesh itu.

''Lelaki warga asing itu kemudian menangis ketakutan sebaik sahaja penguat kuasa menyoal siasatnya. Wanita berusia 38 tahun itu pula memberi alasan hanya menumpang bermalam di rumah itu kerana tiada tempat tinggal selepas dihalau oleh keluarga.

''Dia juga mendakwa buntu dan tidak tahu ke mana untuk minta pertolongan sementara menunggu hari esok bagi mencari kerja lain,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, warga asing berusia 26 tahun itu bekerja di sebuah kilang di Tanjung Agas sejak setahun setengah dan pasangan terbabit didakwa berkenalan sejak tiga bulan lalu ketika bersama-sama bekerja di kilang tersebut.

Menurutnya, serbuan itu dibuat selepas menerima aduan daripada orang awam apabila melihat keadaan mencurigakan sebelum sepasukan anggota PPADL diketuai Pegawai Penguatkuasanya, Mohd. Zainal Kadiran memeriksa rumah itu.

Sulaiman berkata, pasangan tersebut kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 27(1) a Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: