TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 November 2012

BERKAT DOA IBU BAWA KEJAYAAN TIGA BERADIK DI UTHM

ASMAH Md. Rashid (tengah) dan Jaini Parmin melihat diploma dan ijazah yang diperoleh tiga anaknya, Nurul Abidah Najihah (kiri), Nur Syuhada (dua dari kiri) dan Nur Afiqah di UTHM, Batu Pahat, semalam. 
 
BATU PAHAT 4 Nov. - Berkat doa ibu membawa tiga beradik perempuan menerima diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana pada majlis Konvokesyen Ke-12 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini. 

Tiga beradik itu merupakan anak kepada pasangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, Ledang, Jaini Parmin, 51, dan Asmah Md. Rashid, 51.

Lebih menarik, mereka bertiga mengambil kursus pengajian yang sama iaitu Kejuruteraan Elektrik dengan anak sulung, Nur Syuhada, 25, memperoleh ijazah sarjana, Nur Afiqah, 23, (ijazah sarjana muda) dan Nurul Abidah Najihah, 21, (diploma).

Ditanya tentang rahsia kejayaan membesarkan anak-anak mereka, Asmah mengaku sering mendoakan kejayaan mereka di dunia dan akhirat.

"Doa ibu amat penting buat anak-anak. Saya selalu mendoakan mereka dan selebihnya tentulah diri mereka sendiri yang perlu berusaha gigih," katanya yang merupakan guru biologi.

Pasangan itu mempunyai lima orang anak dengan yang bongsu masih mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di UTHM, manakala seorang lagi anaknya menjadi pelatih dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pagoh.

Sementara itu, Nur Afiqah dan Nurul Abidah Najihah berkata, kakak mereka menjadi contoh dan telah menetapkan standard yang tinggi untuk diikuti oleh adik-beradik yang lain.

Nur Syuhada pula menyatakan, mereka tiga beradik tinggal di rumah sewa yang sama sewaktu pengajian di UTHM, sekali gus memudahkan mengulang kaji bersama.

Dalam pada itu, Jaini yang merupakan guru reka cipta juga pernah menuntut di universiti sama, tetapi ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUITHO).

"Saya mendapat ijazah hanya setelah berusia 43 tahun dan bersyukur kerana anak-anak turut menyambung pengajian di sini.

"Saya cabar anak-anak untuk berjaya kerana keluarga kami asalnya bukan daripada orang senang, malah saya katakan di kampung kami hanya ada seorang pemegang ijazah doktor falsafah. Jadi, mereka kena buat lebih baik daripada itu," katanya.

Seramai 2,775 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Konvokesyen Ke-12 UTHM yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: