TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 November 2012

PEGAWAI DAERAH TUNJUK KEBOLEHAN MASAK ASAM PEDAS


ABDUL Rahman Mohamed Dewam (dua dari kiri) dan Sabariah Mohd. Sharif menunjukkan bakat menyediakan masakan asam pedas pada Pertandingan Memasak Selera Johor sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam.

Muar 25 Nov. - Pegawai Daerah, Abdul Rahman Mohamed Dewam menunjukkan kebolehan memasak Asam Pedas Johor pada Pertandingan Memasak Selera Johor sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Aksi Abdul Rahman yang ditemani isterinya, Sabariah Mohd. Sharif memeriahkan lagi pertandingan tersebut yang dikendalikan selebriti serba boleh, Jaafar Onn dan penyanyi popular 90-an, Maya.

Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah, Norlian Mohktar berkata, pihaknya meminta pasangan itu memasak Asam Pedas Johor sebagai simbolik perasmian pertandingan tersebut yang berlangsung selama dua jam.

"Pertandingan ini dianjurkan Pejabat Daerah Muar bersama Kemas daerah dan disertai 100 peserta yang terdiri daripada 40 pasukan berpasangan dan 20 individu daripada kalangan penduduk sekitar daerah ini.

"Tiga menu yang dipertandingkan iaitu Asam Pedas Johor, Ayam Ungkep dan Kuih Talam Keladi. Pemilihan tiga menu ini kerana popular dalam kalangan rakyat Johor terutama asam pedas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai; Pengarah Kemas Negeri Johor, Taufik Mohd. Yusof dan Pegawai Khas Menteri Besar Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh.

Sementara itu, pengadil pertandingan itu, Siti Zarina Lahuri berkata, Asam pedas Johor agak unik dan berbeza dengan negeri lain kerana menu tersebut perlu menggunakan biji halba, bunga kantan, daun kesum, kunyit hidup dan air asam jawa.

"Kesemua bahan ini perlu digunakan untuk mendapatkan keaslian dan keenakan sebenar Asam Pedas Johor. Kuah Asam Pedas Johor juga tidak boleh terlalu pekat atau cair dan perlu menggunakan ikan segar supaya keenakannya tidak terjejas," katanya.

Selain itu, pemenang tempat pertama bagi kategori Asam Pedas Johor ialah Rohani Jamil dan Aminah Md. Yassin; kategori Ayam Ungkep (Norlini Abd. Sani dan Norliana Yahya) manakala kategori Kuih Talam Keladi (Indah Hassan).

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: