TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 November 2012

LEBIH 10,000 HADIR MAJLIS JAMUAN TEH SULTAN JOHOR


SULTAN Johor bersalaman dengan rakyat jelata yang hadir pada majlis jamuan teh di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam. 
MUAR 22 Nov. - Lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis jamuan teh sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang ke-54 itu merupakan kali pertama diadakan di daerah ini dalam suasana penuh meriah dan besar-besaran sebelum disambut di 10 daerah lain di negeri ini.

Sultan Ibrahim yang tiba di pekarangan stadium tersebut kira-kira pukul 3 petang disambut isterinya, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan lima anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Turut berkenan berangkat, bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Turut menyambut baginda ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, isterinya, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin dan isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.

Baginda kemudian memotong kek hari keputeraan selepas doa dibacakan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin dan selepas itu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta artis-artis jemputan yang kebanyakannya anak kelahiran Johor sendiri.

Sultan Ibrahim turut mencemar duli bersalaman dan beramah-mesra dengan orang ramai dengan berjalan ke beberapa khemah selama kira-kira 20 minit sebelum santap bersama tetamu-tetamu kenamaan di khemah utama.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Najib Samad, 32, dari Tanjung Agas di sini, teruja kerana sambutan keputeraan baginda kali ini disambut di daerah ini dalam acara penuh gemilang selama lima hari lima malam.

Bapa kepada dua anak yang bekerja di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) itu berkata, sambutan tersebut satu penghormatan yang besar bagi penduduk Muar dan dapat mendekatkan lagi Sultan Johor dengan rakyat.

"Sambutan ini sangat bersejarah kerana hubung kait Muar dengan Kesultanan Johor bukan sesuatu yang baharu. Kalau kita rujuk kembali sejarah Muar dan bagaimana kawasan ini mendapat gelaran Bandar Maharani, memang wajarlah Muar mendapat gelaran Bandar Diraja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Halim Ahmad, 42, dari Jalan Salleh pula berkata, majlis hari ini dapat mendedah dan memperlihatkan cara sambutan diraja yang sebelum ini hanya disambut di Istana Besar di Johor Bahru tanpa penglibatan rakyat.

Bapa kepada empat anak yang bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat swasta itu berkata, sambutan seumpama itu perlu dilakukan saban tahun sekali gus mengangkat martabat bandar ini yang sebelum ini agak ketinggalan.

Seorang lagi penduduk, Eliza Abdul Kadir, 51, dari Jalan Daud dekat sini, pula menyifatkan sambutan itu dapat mengubah gelaran bandar ini sebagai 'bandar pencen' atau 'bandar tidur' kerana perhatian yang lebih akan diberikan untuk bandar Muar selepas ini.

Terdahulu sebelum Majlis Jamuan Teh, Sultan Johor mencemar duli berangkat ke Majlis Memeriksa Barisan Kehormat dan Tabik Hormat Diraja di Jalan Arab sebelum berangkat ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim untuk Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Triman dan Menghadap Takzim serta Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat sebelum Santapan Diraja.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: