PENGUNJUNG SETIA

23 November 2012

EKONOMI JOHOR TERUS KUKUH - GHANI


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sambil diperhatikan oleh Abdul Ghani Othman melihat sebahagian kek hari jadi yang dihadiahkan oleh pelbagai pihak sempena sambutan hari keputeraan baginda di Muar, Johor, semalam.

MUAR 22 Nov. - Ekonomi Johor terus tumbuh kukuh pada kadar enam peratus tahun ini didorong aktiviti pelaburan dalam sektor perkilangan sebanyak RM3 bilion sehingga Ogos lepas.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, keadaan itu diperkukuhkan dengan aktiviti pelaburan di Iskandar Malaysia berjumlah RM99 bilion sejak ditubuhkan enam tahun lalu, dengan RM42 bilion telah pun dibelanjakan.

"Kegiatan ini telah mewujudkan lebih 460,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun yang mana 385,000 daripadanya diwujudkan di Iskandar Malaysia untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

"Kini, ekonomi Johor dilebar dan diperkukuhkan lagi dengan penumpuan pelaburan industri minyak, gas dan petrokimia di Tenggara Johor, Pengerang dan di Barat Daya Johor iaitu di Tanjung Bin dengan lebih 120,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, kawasan Desaru pula kini menjadi tumpuan pelaburan dalam bidang pelancongan yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM3 bilion.

Sementara itu, tambah beliau, kawasan Bandar raya Johor Bahru pula menjadi tumpuan pelaburan yang membawa kepada pembangunan baru di sepanjang Tanjung Puteri dan pesisirannya.

"Kesemua kegiatan ekonomi itu yang mencakupi pelbagai bidang cetusan daripada pelaburan giat berlaku di sebelah Timur dan Barat Johor, dari Tenggara hingga Barat Daya menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk membawa kemakmuran yang dapat dikecapi oleh rakyat Johor," katanya.

Di samping memajukan ekonomi, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha membawa pembangunan yang seimbang dan adil demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat. - BERNAMA

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: