PENGUNJUNG SETIA

26 November 2012

DUTA SIALIN PELAWA KERJASAMA

Oleh Azidan Nahar

Ledang, Johor: Syarikat Duta Sialin Biotechnology Sdn Bhd, penternak dan pemproses sarang burung walit mahu bekerjasama dengan pertubuhan pertanian serta individu di seluruh negara untuk membekalkan sarang burung.

Beroperasi di Kawasan Perindustrian Payamas di sini, syarikat itu berharap dapat bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara serta pengusaha individu mengenai kae-dah menternak burung yang mana pihak berkenaan nanti akan menjual hasilnya untuk diproses Syarikat Duta Sialin Biotechnology.

Ketika ini, syarikat berkenaan bekerjasama dengan PPK Bakri untuk mendapatkan bahan mentah dan diproses sebagai produk makanan kesihatan.

Pengerusi yang juga Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Saipolbahari Shuib, berkata syarikat sudah menubuhkan pusat pemprosesan sendiri untuk menghasilkan produk bermutu tinggi bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Miliki 42 rumah walit
Selain itu, syarikat turut terbabit dalam sektor huluan dengan mempunyai 42 rumah burung walit di kawasan perindustrian itu untuk bekalan bahan mentah.

"Setakat ini kami sudah memeterai perjanjian dengan tujuh PPK negeri, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Johor bagi membekalkan produk untuk diproses di sini," katanya.

Bagaimanapun Saipolbahari berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan lesen daripada pihak berwajib untuk mengeksport produk itu termasuk ke China, Hong Kong serta negara Asia Barat yang semakin berminat mendapatkan produk kesihatan berasaskan sarang burung.

Dengan bekalan yang mencukupi terutama daripada usaha niaga PPK dan individu, syarikat berharap dapat mengembangkan jualan menerusi pelbagai produk lain yang berasaskan sarang burung walit.

Beliau berkata, perusahaan mengeluarkan sarang burung walit berpotensi berkembang pesat kerana mempunyai permintaan meluas sekali gus mempunyai harga tinggi.

"Sebelum ini harga sekilogram bahan berkenaan antara RM4,900 hingga RM7,000, tetapi turun sedikit apabila kerajaan China menghalang pengimportannya tidak lama dulu, namun kini masalah berkenaan sudah diatasi dan harganya kembali stabil."

"Kami juga sedia memberi tunjuk ajar dan penerangan kepada mereka pada bila-bila masa," katanya sambil menambah syarikat boleh dihubungi di talian  06-978 9766  atau  06-9519944  (PPK Bakri).

SUMBER: BH 26 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: